PETALING JAYA: Pihak pembelaan kes Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, akan mengambil tindakan terhadap lima akaun TikTok yang didakwa memuat naik kandungan bersifat tohmahan, fitnah serta hasutan berkaitan kematian kanak-kanak itu.
Terdahulu, pihak pembelaan kepada ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abd. Manaf membuat permohonan perintah larangan (gag order) terhadap lima akaun TikTok.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili pasangan terbabit, Fahmi Abd. Moin berkata, pihak mahkamah dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) menyarankan agar satu laporan dibuat kepada pihak berkuasa bagi siasatan lanjut diambil terhadap akaun-akaun TikTok terbabit.
Katanya, lima akaun tersebut adalah @be.malaysian.2.0; @cikpika_pika_ii; @myraskitchen00, @malaikatmaut382 dan @ceo.zayn.rayyan.
“Kami mohon ‘gag order’ kepada lima akaun yang disifatkan tidak bertanggungjawab kerana banyak video yang dimuat naik bersifat tohmahan, fitnah, berunsur hasutan dan paling teruk subjudis.
“Namun, pihak mahkamah dan DPP sarankan agar pihak kami membuat laporan kepada pihak berautoriti berkaitan sama ada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasat lanjut perkara ini.
“Pihak mahkamah mengeluarkan satu kenyataan mengingatkan sesiapa termasuk lima akaun ini agar tidak membuat apa-apa video dan kenyataan bersifat fitnah, tohmahan, prejudis dan subjudis kepada mana-mana pihak dalam perbicaraan ini,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya akan berbincang kepada keluarga Zayn Rayyan mengenai tindakan lanjut berkaitan isu terbabit.
LATAR BELAKANG
Terdahulu, Zaim Ikhwan dan Ismanira hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini untuk mendengar pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, 6, sehingga menyebabkan kematiannya.
Pasangan itu dikehendaki hadir di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bagi sebutan kes untuk status penyerahan dokumen pihak pendakwaan kepada pasukan pembelaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam.
Mayat mangsa ditemukan oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak malang tersebut, ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan. – UTUSAN










