PETALING JAYA: Perkembangan kes kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin kembali menjadi sorotan umum apabila Mahkamah Sesyen di sini dijadualkan mendengar prosiding sebutan terhadap kedua-dua ibu bapanya, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, pagi ini.
Jun lalu, Zaim Ikhwan (tertuduh pertama) dan Ismanira (tertuduh kedua) didakwa bersama-sama atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, 6.
Pasangan itu dikehendaki hadir di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bagi sebutan kes untuk status penyerahan dokumen pihak pendakwaan kepada pasukan pembelaan.
Penyerahan dokumen kepada peguam merupakan proses biasa yang menjadi amalan mahkamah sebelum perbicaraan bermula.
Kebiasaannya, kedua-dua pihak akan menyelesaikan proses `housekeeping’ atau pengurusan kes terlebih dahulu sebelum mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.
Hakim bicara akan dimaklumkan dahulu oleh pihak-pihak jika terdapat isu-isu berbangkit seperti pengemukaan representasi bagi mengkaji atau menggugurkan pertuduhan, perkara berkaitan perintah larangan bersuara atau permohonan semakan ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, sebarang tindakan susulan oleh pihak pembelaan bergantung kepada penelitian dokumen perbicaraan yang diperoleh daripada pihak pendakwaan.
PERINTAH LARANGAN
Sebelum ini, hakim berkenaan mengeluarkan perintah larangan bersuara terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam pendakwaan kes pengabaian kanak-kanak autisme itu sehingga perbicaraan kes selesai.
Syahliza berkata, perintah itu berkuat kuasa pada 13 Jun lalu dan hanya ditujukan secara spesifik kepada pihak-pihak dalam kes berkenaan, bukan kepada orang awam.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika didakwa pada 13 Jun lalu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Anis Hakimah Ibrahim.
Bapa Zayn Rayyan diwakili peguam-peguam Fahmi Abd. Moin dan Ilyani Khuszairy manakala Mahmud Jumaat, Bani Prakash, Hazwan Ayob, Izhar Azmi dan Yusri Yusoff mewakili Ismanira.
Mereka yang dibebaskan dengan jaminan RM10,000 setiap seorang, sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh. – UTUSAN










