Perintah larangan bersuara ke atas 5 pemilik akaun Tiktok ditolak

Perintah larangan bersuara ke atas 5 pemilik akaun Tiktok ditolak

Ibu bapa Zayn Rayyan,Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan agar pemilik lima akaun TikTok dikenakan perintah larangan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung kandungan dalam aplikasi itu yang didakwa menyentuh kes pengabaian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Lima akaun tersebut adalah @be.malaysian.2.0; @cikpika_pika_ii; @myraskitchen00, @malaikatmaut382 dan @ceo.zayn.rayyan.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh sebaliknya mengarahkan pihak pembelaan membuat laporan kepada pihak berkuasa yang relevan sekiranya terdapat pemilik media sosial yang menggunakan kes berkenaan sebagai kandungan (content) yang mengundang komen-komen subjudis dan menghina.

“Pada prosiding sebelum ini, mahkamah telah membuat perintah larangan bersuara (gag order) untuk pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini, namun sekiranya terdapat aduan lanjut mengenai perkara ini, pihak pembelaan boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa yang relevan.

“Mahkamah sekali lagi mengingatkan semua pihak terutamanya orang awam agar tidak membuat komen subjudis yang menghina mahkamah,” kata hakim itu pada prosiding sebutan hari ini.

LIMA AKAUN TIKTOK

Terdahulu, peguam Fahmi Abd. Moin menarik perhatian mahkamah dengan memaklumkan terdapat lima akaun TikTok yang dikenal pasti membuat video siaran langsung yang bersifat subjudis dan seolah-olah melakukan buli siber terhadap kedua-dua tertuduh dan pihak pembelaan.

“Sekiranya dilihat dalam akaun-akaun itu, terdapat kenyataan, status dan komen yang berbentuk hasutan yang tidak kena pada tempatnya. Kami mohon agar kelima-lima pengendali akaun ini dikenakan perintah larangan bersuara dan sekiranya mereka melanggar perintah itu, anak guam kami akan membuat laporan polis,” kata Fahmi yang mengendalikan kes bersama peguam Ilyani Khuszairy.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar berkata, memandangkan perkara ini baru diberitahu kepada pihak pendakwaan pada pagi ini, pihaknya belum sempat meneliti akaun-akaun berkenaan.

“Kami memohon pihak pembelaan membuat satu permohonan baharu disertakan dengan afidavit untuk ditunjukkan kepada mahkamah. Pada peringkat ini, kami rasakan permohonan perintah larangan bersuara adalah pramatang namun saya serah kepada budi bicara mahkamah,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Fahmi berkata, pihaknya akan memantau terlebih dahulu kelima-lima akaun tersebut selepas amaran dikeluarkan oleh mahkamah. 

“Kami akan mengadakan perbincangan semula dengan anak guam untuk menentukan tindakan selanjutnya sekiranya kandungan-kandungan ini dimuat naik lagi,” katanya.

Mengulas lanjut siaran langsung dalam TikTok berkenaan, Fahmi melahirkan rasa terkilan kerana pemiliknya menggunakan kes Zayn Rayyan bagi menarik jumlah penonton ketika menjual produk melalui aplikasi itu.

Kata  beliau, pasukan pembelaan yang mula memantau laman-laman sosial sejak bertindak bagi pihak keluarga berkenaan, menyedari wujud akaun tertentu yang kerap mengadakan siaran langsung sambil mengulas isu kes yang bersifat subjudis untuk menaikkan jumlah penonton.

“Saya tidak kisah jika mereka berbincang berkaitan kes Zayn Rayyan secara ilmiah, namun mereka bersiaran langsung hampir setiap hari dan menggunakan kes itu untuk menjual produk,” ujarnya.

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf dituduh mengabaikan kanak-kanak autisme itu di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN