NIBONG TEBAL : Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan membentangkan kertas dasar berhubung penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig kepada Kabinet sekali lagi pada bulan ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pembentangan itu dijangka dibuat dalam tempoh satu atau dua minggu lagi selepas kertas dasar berkenaan lengkap sepenuhnya nanti.
Kata beliau, sejurus pembentangan yang melibatkan kajian awal dilaksanakan bulan lepas, pihaknya kini cuba menambah baik serta mengambil kira pandangan daripada input-input jemaah menteri pada hari tersebut.
“Pada bulan ini, mungkin dalam masa satu atau dua minggu lagi, kita akan membentangkan satu kertas dasar tentang penambahbaikan yang telah dilakukan.
“Ia meliputi bagaimana kita boleh memberikan perlindungan kepada pekerja sektor gig terutama dalam tiga aspek utama iaitu dari segi pampasan upah yang lebih baik, keduanya dari segi perlindungan keselamatan sosial yang ketiga dari segi mekanisma kilanan.
“Ini masih di peringkat awal. Apa yang saya boleh katakana, sebab ia tertakluk kepada kelulusan jemaah menteri dan mungkin turut melibatkan pindaan atau gubalan undang-undang sedia ada (sekiranya diluluskan),” katanya pada Majlis Meraikan Peluncuran Tajaan Kepada e-Hailing dan p-Hailing Zon Utara di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, sebarang aduan tidak boleh dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) kerana pekerja gig tidak termasuk di bawah definisi pekerja.
“Justeru, kita akan lihat definisi terbaik untuk mengklasifikasikan mereka pada masa depan. Buat masa ini, mereka (pekerja gig) juga tidak mahu didefinisikan sebagai pekerja konvensional.
“Memang definisi itu berbeza-beza di negara yang berbeza. Maka, kita akan mengambil ‘benchmark’ (penanda aras) dari negara-negara serantau dan amalan terbaik seluruh dunia sebelum memperincikannya mengikut kesesuaian pelaksanaan di negara kita,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa,Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig disegerakan bagi membela nasib pekerja itu di negara ini.
Ia adalah bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig, dengan tumpuan adalah memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.










