Kemenangan PN bukti protes rakyat - Abidin

Kemenangan PN bukti protes rakyat – Abidin

ABIDIN Ismail (tengah) melambaikan tangannya selepas diumumkan sebagai pemenang bagi PRK DUN Sungai Bakap oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK tersebut, Khairulnizam Hashim di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Serbaguna Jawi di Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap membuktikan bahawa rakyat memprotes pentadbiran Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Calon PN, Abidin Ismail berkata, kemenangan yang berpihak kepada beliau turut memberi maksud bahawa rakyat menolak gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

“(Kemenangan) itu antara protes pada tindakan kerajaan yang menekan rakyat. Sepanjang tempoh dua minggu (kempen) mendekati rakyat, banyak rintihan yang sudah didengari.

“Keutamaan akan diberikan untuk menyelesaikan isu-isu utama yang membelenggu masyarakat setempat terutamanya masalah air,” katanya kepada pemberita selepas memenangi kerusi DUN Sungai Bakap di sini, malam ini.

Kemenangan Abidin sekaligus menyaksikan PN berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi Allahyarham Nor Zamri Latiff sebelum ini Pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos lalu.

Dalam pada itu, Abidin atau mesra disapa sebagai Abang Abidin berkata, beliau mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu memastikan kemenangan berpihak kepada PN.

“Terima kasih kepada kepimpinan tertinggi, jentera dan rakyat atas sokongan luar biasa yang diberikan pada PRK kali ini,” katanya.

Bekas eksekutif logistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya iaitu calon, Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang sekadar meraih 10,222 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK Sungai Bakap, Khairulnizam Hashim di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi di sini, malam tadi.

Terdahulu, Abidin, 56, yang memakai ves PN dan berseluar hitam hadir ke dewan itu kira-kira 9.30 malam dengan diiringi beberapa pemimpin serta penyokong Pas dan PN.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×