KUALA LUMPUR : Polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses kokain dengan penahan tiga individu termasuk pasangan suami isteri dalam serbuan di sebuah unit apartmen di Batu 5, di sini, kelmarin.
Hasil penahanan itu, sebanyak 44.93 kilogram kokain dianggarkan bernilai RM9 juta berjaya dirampas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan itu adalah hasil kerjasama antara pihaknya dengan Drug Enforcement Administration (DEA).
Kata beliau, menerusi serbuan pertama di apartmen berkenaan, pasangan suami isteri masing berusia 41 tahun ditahan.
Kata beliau, lelaki berkenaan berperanan sebagai penghantar dan isterinya iaitu penjaga bekalan serta ‘tukang masak’ kokain.
“Selain 44.93 kilogram kokain, kami turut merampas 52.5 liter cecair kimia atau ibu kokain yang diletakkan di dalam botol wain.
“Kesemua dadah berkenaan dipercayai bagi edaran luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, Timbalan Pengarah JSJN, Datuk Zainudin Ahmad dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azri Akmar Ayob.
Mengulas lanjut, kata beliau, rumah berkenaan disewa pada harga RM2,350 sebulan untuk dijadikan stor dan makmal memproses kokain sejak Februari lalu.
Rentetan tangkapan itu, Kok Chin berkata, satu lagi serbuan dijalankan di sebuah pangsapuri di Cheras, Selangor, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 38 tahun.
“Dalam serbuan terhadap lelaki berperanan sebagai penghantar itu, kami merampas satu kilogram serbuk kimia dipercayai digunakan untuk memproses kokain di rumah berkenaan.
“Jumlah dadah yang dirampas dalam operasi ini dianggarkan boleh menampung penggunaan seramai 225,000 penagih dadah,”jelasnya.
Tambah beliau, pelbagai aset sindiket membabitkan wang tunai, barang kemas, kenderaan serta jam tangan berjenama yang dianggarkan bernilai RM201,086 telah disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.
Menurutnya, modus operandi sindiket itu yang aktif sejak awal tahun ini adalah menjadikan kediaman sebagai tempat memproses dan menyimpan kokain sebelum diedar untuk pasaran luar negara menggunakan pengangkutan udara.
“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati hanya suspek ketiga positif dadah jenis ketamin yang turut memiliki lapan rekod jenayah dan dadah.
“Pasangan suami isteri itu direman tujuh hari bermula semalam hingga 23 Julai ini, manakala suspek ketiga direman empat hari sehingga 20 Julai ini,” jelasnya.
Tambah beliau, pihak polis masih mengesan saki baki sindiket berkenaan yang masih bebas untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN











