Muatan dadah dibawa dari Loas ke Manila bukan Malaysia - Utusan Malaysia

Muatan dadah dibawa dari Loas ke Manila bukan Malaysia

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dadah seberat 521 kilogram (kg) yang dibawa menggunakan sebuah jet peribadi yang dinaiki seorang rakyat Malaysia dipercayai diseludup dari Laos ke Manila, Filipina.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesawat berkenaan pada awalnya berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang menuju ke Luang Prabang, Laos tanpa membawa sebarang muatan.

Beliau berkata, pesawat itu hanya dinaiki tiga individu iaitu seorang juruterbang warga Singapura, seorang pembantu juruterbang warga Malaysia dan seorang penumpang warga Filipina.

“Dadah yang dirampas adalah untuk pasaran Manila, Filipina dan bukannya pasaran Malaysia.

“Pesawat berkenaan telah berlepas dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Luang Prabang, Laos tanpa sebarang muatan sebelum dipercayai digunakan untuk membawa muatan dadah tersebut dari Laos ke Manila,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Laos, pesawat berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang kira-kira pukul 11.30 pagi.

Bagaimanapun, katanya, dua kenderaan tiba di kawasan lapangan terbang sebelum beberapa kakitangan lapangan terbang negara berkenaan membantu memindahkan 23 beg daripada kenderaan berkenaan ke atas troli untuk dibawa ke pesawat kira-kira pukul 1.30 petang.

“Pemeriksaan terhadap kesemua 23 beg itu kemudian menemukan 500 bungkusan dadah disyaki jenis methamphetamine dengan jumlah berat keseluruhan 521kg.

“Destinasi dadah berkenaan dipercayai adalah Manila, Filipina,” ujarnya.

Hussien berkata, dalam operasi itu, seramai 13 suspek ditahan terdiri daripada seorang juruterbang warganegara Singapura, seorang pembantu juruterbang warganegara Malaysia dan seorang penumpang warganegara Filipina.

“Turut ditahan ialah tiga kakitangan syarikat perkhidmatan darat lapangan terbang dan kakitangan lapangan terbang yang mengendalikan mesin X-ray (tujuh orang) yang kesemuanya warganegara Laos.

“Kesemua suspek dibawa ke tempat tahanan untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa Laos,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, PDRM telah memulakan siasatan berkaitan kes berkenaan dan akan menghantar beberapa pegawai JSJN ke Laos.

“Langkah itu bagi menjalankan soal siasat serta mendapatkan maklumat lanjut berkaitan sindiket dadah yang terlibat khususnya yang mempunyai kaitan dengan Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN