PETALING JAYA: Pas mengecam Kementerian Pendidikan (KPM) yang membisu mengenai isu penganjuran program amal di sebuah sekolah yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras seperti dilaporkan media baru-baru ini.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari mempersoal kelewatan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut.
“Kenapa masih belum kedengaran sebarang kenyataan daripada KPM khususnya Menteri selepas mesyuarat Kabinet semalam berhubung isu larangan institusi pendidikan menerima sumbangan daripada hasil arak?
“Nak tunggu sehingga selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri ke?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu dilaporkan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) didakwa menerima sumbangan daripada sebuah syarikat arak yang merupakan satu daripada penyumbang semasa Konsert Amal Pendidikan.
Usaha itu dikatakan bagi mengumpul dana membina dewan di sekolah itu.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan menyerahkan kepada Fadhlina untuk menjelaskan isu berhubung sumbangan dana di sekolah tersebut yang melibatkan Tiger Beer.
Jurucakap kerajaan itu berkata, isu tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet semalam. – UTUSAN









