LANGKAWI: Remaja lelaki yang ditemukan lemas selepas mandi di Pantai Chenang, di sini digambarkan sebagai seorang pendiam dalam kalangan ahli keluarganya.
Bagaimanapun sebelum tragedi itu, Muhammad Izzham Hakimie Azizi, 15, berperwatakan ceria selain menyatakan keinginan untuk menyambut hari lahir adiknya di pantai berkenaan.
Kakak mangsa, Nur Akma Aisyah, 23, berkata, pada hari kejadian, arwah merancang berkelah di Pantai Chenang sambil menyambut hari lahir adik perempuan mereka.
“Hari itu arwah macam seronok sangat. Dia jadi banyak cakap, sedangkan biasanya dia senyap sahaja. Dia juga yang rancang untuk berkelah dan arwahlah yang beli kek untuk adiknya.
“Semasa kejadian, dia ternampak adiknya ditarik ombak besar yang tiba-tiba datang dan dapat menolak adiknya ke arah darat. Namun dia pula ditarik ke laut kerana ombak semakin kuat,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini, semalam.
Nur Akma Aisyah berkata, Muhammad Izzham Hakimie adalah anak ketiga daripada enam beradik dan bersekolah di tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang.
Dalam kejadian pukul 2.45 petang kelmarin, mangsa hilang dihanyutkan ombak semasa mandi-manda ketika berkunjung ke Pantai Chenang bersama keluarga dan lima rakannya.
Mangsa dikatakan cuba menyelamatkan adiknya yang terlebih dahulu nyaris lemas sebelum dia hilang dalam kejadian itu.
Mayat mangsa ditemukan pada pukul 10.08 pagi semalam di sekitar Kuala Chenang dengan jarak kira-kira 150 meter dari lokasi dia dipercayai lemas. – UTUSAN










