JOHOR BAHRU: Pemain skuasy wanita kebangsaan, Aifa Azman dan adiknya, Aira cemerlang apabila menjuarai acara beregu wanita dalam Kejohanan Beregu Squasy Asia 2024, di sini hari ini.
Pasangan adik beradik itu menepati ramalan apabila menundukkan gandingan rakan senegara, Nor Ainaa Amani Ampandi dan Chan Yiwen menerusi kemenangan 11-6, 11-7 dalam aksi final yang berlangsung di Arena Emas, Skudai.
Menurut Aira, dia berpuas hati dengan kejayaan dilakar dengan perit jerih itu setelah bergelut dengan kecederaan buku lali yang dialami ketika aksi separuh akhir acara beregu wanita, semalam.
“Sebagai pilihan utama acara ini, kami akui merasai tekanan untuk memberikan yang terbaik, namun segala ‘menjadi’ mengikut perancangan hingga berjaya memenangi acara ini.
“Ia bukanlah kejayaan yang mudah kerana berdepan masalah kecergasan setelah mengharungi 11 perlawanan dalam masa empat hari ini,” katanya yang turut bersaing dalam acara beregu campuran bersama gandingan Mohd. Syafiq Kamal.
Bagi acara beregu campuran, Aira dan Mohd. Syafiq menamatkan saingan di tempat kelima, selepas menewaskan rakan senegara, Rachel Arnold dan Ong Sai Hung 11-9,6-11,11-5.
Sementara itu, Aifa berharap kemenangan tersebut memberi suntikan semangat buat mereka melicinkan keserasian bagi menghadapi kejohanan beregu wanita di Mesir pada hujung tahun ini.
“Saya gembira kami kembali bergandingan setelah bersama meraih pingat emas beregu bersama Aira di Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.
“Pada perlawanan tadi, kami sekali lagi berjaya membuktikan keserasian bersama dan Aira banyak membantu mengutip mata hingga menjuarai acara ini. Saya harap kemenangan ini memberikan suntikan semangat bagi mengharungi beberapa lagi kejohanan penting selepas ini,” ujarnya.
Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Ong Sai Hung – Mohd Syafiq Kamal sekadar berpuas hati di tempat kedua setelah tewas di tangan beregu India, Abhay Singh dan Belavan Senthilkumar bagi aksi penentuan.
Dalam aksi final selama 28 minit itu, pasangan negara itu gagal menggugat lawan setelah tewas 4-11, 5-11. – UTUSAN










