PETALING JAYA: Peranan Yang di-Pertuan Agong adalah untuk memayungi rakyat yang berbeza bangsa dan agama di samping menjadi Ketua Utama Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tokoh sejarah, Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, takrifan ‘payung negara’ itu tidak merujuk kaum atau bangsa tertentu sahaja sebaliknya merangkumi semua tanpa mengira latar belakang dan lapisan masyarakat.
Katanya, ia bertepatan dengan punca kuasa Seri Paduka seperti dijelaskan dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.
“Frasa Ketua Utama Negara bagi Persekutuan atau digelar Yang di-Pertuan Agong dalam Perkara 32 tidak merujuk kepada Ketua Utama kaum atau kumpulan tertentu. Ia merangkumi semua kaum, tidaklah kira Melayu, Cina atau India serta kaum-kaum lain.
“Malah tepatnya perumpamaan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah untuk memayungi rakyat. Agong merupakan Ketua Negara untuk seisi rakyat di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai akan bermula pada 18 Julai dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara diikuti Khutbah Jumaat khas yang memberikan penjelasan serta peringatan kepada umat Islam mengenai kepentingan Institusi Raja Berperlembagaan pada 19 Julai.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Ramlah berkata, Malaysia sebagai satu-satunya negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dilakukan secara bergilir setiap lima tahun.
Katanya, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja menurut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Raja-Raja.
“Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada perakuan Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Menurut Ramlah, sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, diperuntukkan oleh Perlembagaan Institusi Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu di sembilan negeri dan Majlis Raja-Raja yang mana raja-raja Melayu telah diberi kuasa untuk memelihara keistimewaan dan adat istiadat orang Melayu dan pentadbiran agama Islam di negeri masing-masing.
“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pula adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan wilayah-wilayah Persekutuan.
“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Baginda menjalankan tugas-tugas di bawah Perlembagaan bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri dan menjalankan tugas bertindak mengikut nasihat Menteri Besar masing-masing,” katanya. –UTUSAN










