Subsidi diesel: Lakukan secara berkala, elak kejutan pada ekonomi

Subsidi diesel: Lakukan secara berkala, elak kejutan pada ekonomi

Dr. Muhamad Akmal Saleh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dinasihat melaksana penarikan subsidi diesel secara berkala dan bukan penuh bagi mengelakkan impak besar terhadap ekonomi serta rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM), Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penarikan subsidi sebaiknya dilaksanakan secara kecil iaitu misalnya RM0.20 atau pada kadar 10 peratus minimum sehingga cabaran-cabaran awal dapat diatasi.

Ini kerana, menurut beliau, pengumuman penarikan secara penuh subsidi diesel yang dilakukan kerajaan hari ini mendatangkan pelbagai rasa dan reaksi dari semua pihak terutama dalam kalangan rakyat.

“Bagi PPUM, kami berpandangan dan mengesyorkan agar subsidi diesel ini perlu dilakukan secara berkala dan bukanlah secara total serta mengejut seperti yang diumumkan ini.

“Kesan penarikan subsidi diesel ini akan mengakibatkan harga diesel naik dengan begitu mendadak dari RM2.15 kepada RM3.35 iaitu kenaikan sebanyak RM1.20 seliter. Kenaikan yang besar dan tajam ini sudah pasti mendatangkan kesan kepada ekonomi semasa serta orang ramai,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dengan mekanisme bantuan bersasar yang tersedia, kerajaan kini sudah bersedia untuk melaraskan harga diesel bagi semua pegeri di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurutnya harga diesel di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter pada tengah malam tadi iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, pelaksanaan penarikan subsidi tersebut secara penuh dibimbangi memberi kesan terutama kepada golongan yang tercicir ekoran kaedah pembayaran subsidi bersasar ke mereka memerlukan masih lagi di peringkat awal.

“Sudah pasti akan ada masalah-masalah yang tidak boleh dielakkan seperti kelulusan permohonan yang dipohon dan keciciran golongan memerlukan, impak ekonomi kepada pengguna tetap akan berlaku serta tidak dapat dielakkan,” jelasnya.

Tambahnya, beliau memahami akan keperluan polisi tersebut bagaimanapun tidak mahu ia dijalankan dengan memberi lebih banyak keburukan dari kebaikan yang rakyat perlu tanggung.

“Secara umum, PPUM menyokong polisi penstrukturan subsidi. Polisi ini turut dicadangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu walaupun dibantah teruk pada ketika itu.

“PPUM faham akan keperluan yang lebih besar dalam usaha untuk membina negara namun dalam masa yang sama biarlah penarikan subsidi ini dilakukan secara berkala agar tidak menyebabkan kejutan ekonomi semasa yang mendadak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN