Lebih 27,200 jip, pikap mendapat manfaat subsidi diesel 

 Lebih 27,200 jip, pikap mendapat manfaat subsidi diesel 

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 27,200 kenderaan jenis jip dan pikap mendapat manfaat subsidi diesel menerusi penggunaan kad subsidi bahan api di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah tersebut setakat 26 Oktober lalu di mana kemudahan itu diperluaskan termasuk perusahaan kecil, bagi membolehkan golongan berkenaan menikmati manfaat subsidi berkenaan.

“Kerajaan memperkenalkan kelayakan tambahan ini dengan mengambil kira kenderaan jenis ini sering digunakan sebagai kenderaan utama, terutama di Sabah dan Sarawak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini termasuk untuk membawa hasil pertanian, barangan perniagaan kecil, urusan pekerjaan serta perjalanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman yang mempunyai bentuk muka bumi lebih mencabar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai justifikasi pengurangan kuota BUDI95 daripada 300 kepada 200 liter sebelum dinaikkan semula mulai 1 September 2026, serta jumlah sebenar penjimatan subsidi bahan api sepanjang tahun ini.

Katanya lagi, kerajaan turut menyediakan kelayakan tambahan 100 liter diesel sebulan kepada pemilik kenderaan jenis jip dan pikap yang layak, menjadikan jumlah keseluruhan kelayakan sehingga 400 liter sebulan.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan juga sudah menambah baik mekanisme BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dengan memperluas kemudahan pemindahan kelayakan kepada pengguna sebenar kenderaan diesel.

Tambahnya, pemilik berdaftar yang layak boleh memindahkan kelayakan kepada warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad sah, layak menerima BUDI95 dan pengguna sebenar kenderaan terbabit.

“Bagi pemilik yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel, kelayakan juga boleh dipindahkan kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada jumlah kenderaan dimiliki serta semakan kelayakan.

“Langkah ini penting bagi menangani isu yang sering berlaku di Sabah dan Sarawak, termasuk penggunaan kenderaan oleh ahli keluarga atau pekerja, pengguna sebenar yang bukan pemilik berdaftar serta amalan sambung bayar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini