KUALA LUMPUR: Seorang pramugara yang sebelum ini mengaku tidak bersalah menyebabkan kematian seorang pekerja penyelenggaraan, didakwa semula di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh.
Tertuduh Mohd. Iman Nafiz Fong Mohd. Sabirin, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, M. S. Arunjothy.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Faris Irfan Fazli, 29, di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen, di sini, pada pukul 4.09 pagi, 24 Oktober lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun, jika sabit kesalahan. Sekiranya tidak dihukum mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan minimum 12 kali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry manakala Mohd. Iman diwakili peguam bela, Mohd. Anif Rafih.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula bagi kes itu pada 30 November ini.
Pada Isnin lalu, tertuduh sama didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan kepada dua pekerja penyelenggaraan, Sabtu lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memandu kereta pacuan empat roda Jenis Ford Focus Sport di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan iaitu sebanyak 64 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter.
Perbuatan itu telah menyebabkan kematian kepada seorang lelaki, Faris Irfan Fazli, 29, di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen, di sini, pada pukul 4.09 pagi, 24 Oktober lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memandu kenderaan sama, di tempat dan lokasi serupa di bawah pengaruh alkohol sama sehingga menyebabkan kecederaan kepada Ahmad Zakiyamani Zakaria@Yusuff, 49.
Pada Sabtu lalu, media melaporkan seorang pekerja penyelenggaraan maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar dua pekerja yang sedang bertugas di lorong kiri lebuh raya berkenaan. – UTUSAN











