Sayap Wanita pilih kempen dari rumah ke rumah - Fadhlina

Sayap Wanita pilih kempen dari rumah ke rumah – Fadhlina

FADHLINA (tengah) bersama Joohari (kiri) beramah mesra bersama pengundi ketika sesi 'walkabout' di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Kempen dari rumah ke rumah anjuran sayap wanita Pakatan Harapan (PH) antara langkah yang sedang dilaksanakan bagi membantu calon Kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin ketika ini.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, usaha itu adalah salah satu cara terbaik dalam mendekati pengundi sekali gus cuba untuk memenangi hati mereka.

Katanya, dengan cara itu, keyakinan pengundi untuk memilih Joohari atau mesra disapa sebagai Cikgu Joo juga dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Setiap kali kempen untuk pilihan raya, ini memang ‘tabiat’ saya iaitu sertai acara dari rumah ke rumah untuk mendekati pengundi.

“Diakui saya memang mengejar masa kerana kita perlu santuni dan lawat kira-kira 400 hingga 500 rumah bagi setiap kawasan perumahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Fadhlina melakukan ‘walkabout’ bersama Dr. Joohari di sekitar kawasan perumahan Bandar Tasek Mutiara, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pendekatan dari rumah ke rumah juga membolehkan pihaknya mengumpulkan maklum balas yang dilontarkan oleh pengundi.

“Kita dapat maklum balas apa yang pengundi rasa wakil rakyat perlu tambah baik dan kita ambil maklum berhubung pandangan mereka,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK yang bakal berlangsung 6 Julai ini diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×