Ramai belumdaftar Budi Madani

Ramai belum daftar Budi Madani

NORAZAH Jaapar (kanan) memberikan advokasi berhubung inisiatif Budi Madani di sebuah stesen minyak sekitar Padang Besar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Penyasaran subsidi diesel dilihat belum difahami sepenuhnya ramai pihak yang tidak mendapat maklumat menyeluruh berhubung pelaksanaannya.

Tinjauan di beberapa lokasi sekitar daerah ini mendapati, masih ramai belum mendaftar untuk mendapatkan manfaat menerusi inisiatif Budi Madani dilaksanakan kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga pakaian, Mohamad Effendi Abu Bakar, 44, berkata, dia terkejut apabila terpaksa membuat pembayaran hampir dua kali ganda berban­ding kebiasaan sewaktu melakukan pengisian diesel untuk van perniagaannya.

“Saya memang ada mende­ngar mengenai Budi Madani sebelum ini namun tidak sempat melakukan pendaftaran bagi mendapat manfaat menerusi pelaksanaan baharu itu.

“Kebiasaannya saya me­lakukan pengisian penuh bagi van sebanyak 55 liter dengan harga sekitar RM107 namun kadar itu berubah dengan bayaran lebih RM162 untuk kuantiti sama,” katanya.

Bermula semalam, harga diesel di semua stesen runcit petrol di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter.

Untuk rekod, Budi Madani adalah usaha kerajaan dalam memastikan peruntukan subsidi dapat disasarkan kepada golongan yang layak di sam­ping mengekang aktiviti penyeludupan bahan api tersebut.

Sementara itu, seorang petani, Hashim Ismail, 49, berkata, dia belum melakukan pendaftaran Budi Madani bagi mendapat manfaat bantuan bulanan berjumlah sebanyak RM200 kerana tidak mengetahui secara lanjut mengenai kelayakannya.

“Mungkin saya terlepas pandang mengenai maklumat ini dan akan melakukan permohonan dengan segera bagi meraih manfaatnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norazah Jaapar berkata, pihaknya menggalakkan orang ramai untuk membuat pendaftaran Budi Madani dengan segera melalui pautan disediakan.

Katanya, bagi peniaga yang ingin mendapatkan kad fleet di bawah KPDN, mereka perlu membuat permohonan dengan mendaftarkan kenderaan terlibat dibawah entiti syarikat.

“Apabila mereka mendaftar, pihak berkenaan akan mendapat faedah yang disediakan oleh kerajaan menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN