Diesel bersubsidi diselaras, turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai

Diesel bersubsidi diselaras, turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai

HARGA diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia akan diturunkan kepada RM2.10 seliter di seluruh negara mulai Julai ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia akan diturunkan kepada RM2.10 seliter di seluruh negara mulai Julai ini.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, penurunan harga itu akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad.

Katanya, pendekatan tersebut selaras dengan kaedah yang dilaksanakan menerusi Budi Madani RON95 (BUDI95).

“Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga dan kaedah yang sama di seluruh negara.

“Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kementerian, langkah tersebut penting bagi memastikan subsidi kerajaan hanya dinikmati rakyat Malaysia, selain mengurangkan ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi.

Katanya, perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dengan harga tanpa subsidi telah membuka ruang kepada ketirisan dan penyeludupan, termasuk ke luar negara.

Ketika ini, diesel masih dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.

Kementerian Kewangan berkata, menerusi pembaharuan itu, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan harga runcit di Semenanjung Malaysia.

“Dengan penyelarasan tersebut, bukan warganegara tidak lagi akan menikmati subsidi diesel.

“Pada masa sama, rakyat di Sabah dan Sarawak yang menggunakan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu akan diumumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan esok. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN