Sempena minggu aktiviti pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Langkawi baru-baru ini banyak program diadakan pihak maktab.
Satu daripadanya adalah program memasak yang bertajuk “Dari Dapur ke Pinggan Bersama Chef Qayyum”. Ia telah diadakan bersama 272 orang pelajar Tingkatan Dua dan Tiga.
Objektif utama program adalah bagi memupuk minat memasak makanan yang sihat dalam kalangan pelajar. Ia juga bertujuan memberi pendedahan tentang cara penyediaan makanan serta memberikan ilmu kepada para pelajar tentang teknik memasak yang betul.
Program yang berlangsung dimulakan dengan demo masakan daripada Chef Muhammad Qayyum Irwanzi Alwi. Bekas pelajar MRSM Pasir Salak itu kini bertugas sebagai Pengurus Jabatan Seni Kulinari di MK Hospitality Academy.

Dalam program tersebut, Chef Qayyum mengajar bagaimana untuk menyediakan menu lazat pasta rendang dan juga Vietnamese roll.

Kemudian para pelajar diberikan tugasan berkumpulan mengikut homeroom masing-masing dalam pertandingan sandwich sihat. Setiap kumpulan diberikan masa selama satu jam untuk menghasilkan sandwich yang sedap dan hiasan yang menarik.
Setiap kumpulan dinilai mengikut kriteria seperti pengurusan kerja, kemahiran mengendalikan peralatan dapur dan kemahiran menghasilkan produk akhir.
Peserta diadili oleh Chef Qayyum, wakil guru iaitu Ahmad Asyraf AB Rahman dan wakil ibu bapa, Juliana Musa.
Pemenang pertama bagi setiap tingkatan memenangi wang tunai sebanyak RM200 manakala pemenang kedua pula telah menerima wang tunai RM100. Semua kumpulan yang bertanding juga turut menerima hadiah saguhati berbentuk hamper dan makanan tambahan.
Menurut Chef Qayyum, program sebegini sangat perlu kerana jadual pelajar kebiasaannya dipenuhi dengan aktiviti ilmiah yang sangat padat bagi memenuhi keperluan kejayaan akademik mereka.
“Justeru, saya merasakan sesekali perlu ada program “softskill” sebegini bagi menambah kemanisan dalam kehidupan pelajar dan sedikit sebanyak menambahkan keyakinan pelajar utk bertutur serta berkerjasama dalam kumpulan yang lebih besar.
Program seperti ini juga wajar diadakan lebih kerap untuk membantu meningkatkan kemahiran insaniah pelajar yang semakin berkurang terutamanya dalam golongan generasi Z yang lebih tertumpu kepada kecanggihan teknologi serta leka dengan media sosial,” Tambah beliau.
Bagi bagi pelajar tingkatan tiga, Sarah Batrisyia Rahimi, program itu dapat meredakan ketegangan para pelajar setelah bergelut dengan buku-buku dan peperiksaan.

“Program sebegini dapat membuatkankan para pelajar berfikir secara lebih kreatif untuk menghasilkan makanan yang sedap serta hiasan yang menarik.
Selain itu sebagai pelajar maktab, waktu kami di rumah amat terhad dan hanya berpeluang pulang apabila ada cuti panjang. Jadi, waktu kami untuk belajar memasak adalah sangat terhad.
“Justeru, dengan adanya program sebegini, saya juga dapat belajar ilmu yang baharu seperti cara memotong sandwich dengan kemas serta teknik-teknik penyediaan makanan yang tidak diajar secara formal di sekolah,” ujarnya. – UTUSAN










