GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang telah mengenal pasti beberapa lokasi panas di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu yang akan bermula selepas penamaan calon 22 Jun ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ketika ini, polis juga telah pun berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk menghadapi PRK bagi kerusi DUN berkenaan.
“Ada beberapa kawasan panas telah dikenal pasti. Polis juga sedang kenal pasti beberapa kawasan lain di situ yang mungkin menjadi lokasi panas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap jatuh pada 6 Julai ini.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom dilaporkan berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.
Dalam pada itu, Hamzah memberitahu, bagi menghadapi PRK DUN Sungai Bakap, seramai 1,000 anggota dan pegawai akan ditugaskan untuk memastikan kelancaran proses pilihan raya tersebut.
”Polis akan memastikan kelancaran proses PRK berkenaan termasuk memastikan pengundi berada dalam keadaan selamat.
“Setakat ini, polis Pulau Pinang hanya menggunakan sumber yang ada (anggota dan pegawai dari Kontinjen Pulau Pinang) untuk bertugas sepanjang tempoh PRK.
“Melainkan jika ada keperluan mendesak kita akan mohon bantuan dari negeri lain,” katanya.-UTUSAN










