PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap 6 Julai ini kerana mahu memberi fokus kepada peranan ‘kuasa ketiga’.
Muda dalam kenyataan berkata, pihaknya ingin terus menjadi suara rakyat di dalam dan luar Parlimen dengan memberi tekanan kepada pelbagai isu termasuk kos sara hidup, peruntukan adil dan reformasi institusi.
“Baru-baru ini juga, Muda menyuarakan dan memberi tekanan terhadap beberapa isu penting seperti laporan daya saing dunia IMD 2024 di mana Malaysia kini berada di tangga ke-34 berbanding ke-27 sebelum ini.
“Isu inflasi yang semakin meningkat, intimidasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua peguam, isu pelantikan (Tan Sri) Azam Baki, serta janji-janji pilihan raya kecil yang berbentuk populis. Semua isu ini memerlukan perhatian dan tindakan segera demi kepentingan rakyat,” kata Muda.
Terdahulu, media melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari pengundian bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr. Azmi Sharom berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 22 Jun manakala undi awal pada 2 Julai.
Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) menamakan Dr Joohari Ariffin yang turut menerima sokongan daripada Barisan Nasional (BN), sementara Perikatan Nasional (PN) mempertaruh Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Mengulas lanjut, Muda bekata, pihaknya juga ingin menyelesaikan fasa pertama agenda rejuvenasi parti.
“Pada bulan Jun 2024, Muda melancarkan pendaftaran baharu secara digital dan pautan portal keahlian.
“Seterusnya, Muda akan menumpukan kepada pelan agenda rejuvenasi fasa kedua dan gerak kerja politik khidmat di peringkat negeri dan Parlimen. Maklumat lanjut akan diumumkan pada masa terdekat,” katanya.- UTUSAN










