Bekas ahli Muda sertai UMNO, kejayaan Rumah Bangsa

Bekas ahli Muda sertai UMNO, kejayaan Rumah Bangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penyertaan bekas ahli Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyertai UMNO merupakan hasil kejayaan Rumah Bangsa untuk menarik sokongan rentas parti, khususnya daripada generasi muda.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka yang berhasrat untuk menyertai UMNO atau mereka yang tertarik dengan parti itu boleh bersahabat dalam rumah besar tersebut.

Katanya, gerakan itu yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Khalid Nordin telah mula menampakkan hasil daripada kerja keras yang dilakukan oleh semua pihak.

“Penyertaan oleh bekas ahli Muda menunjukkan ada ramai anak muda yang menunjukkan minat di bawah inisiatif Rumah Bangsa ini.

“Jadi ini adalah antara usaha yang telah memperlihatkan kejayaan pertama,” katanya kepada para pemberita selepas program jelajah Road to Ramadhan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng di sini hari ini.

Semalam Ketua Muda Kluang, Shikh Mohd. Farkhann mengumumkan peletakan jawatan serta meninggalkan parti itu dam bersama kira-kira 100 ahli Muda kawasan berkenaan menyertai UMNO.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya pada majlis tersebut menggesa pihak yang ingin memberikan sumbangan kepada rumah anak yatim atau maahad tahfiz sempena bulan Ramadhan ini memberikannya secara wang tunai.

“Lazimnya banyak pihak beri beras tetapi wang tunai lebih baik kerana ia boleh digunakan mengikut kesesuaian rumah atau pusat pendidikan yang berkenaan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN