PRK Sungai Bakap: Abidin mahu sambung legasi Abang Zam

PRK Sungai Bakap: Abidin mahu sambung legasi Abang Zam

ABIDIN Ismail (tengah) selepas diumumkan sebagai calon PN pada majlis pengisytiharan calon di Simpang Ampat, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Berbekalkan pengalaman sebagai bekas pegawai khas kepada Allahyarham Nor Zamri Latiff, calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail, 56, optimis mampu menawan hati pengundi setempat.

Abidin dalam ucapannya berkata, beliau berhasrat untuk meneruskan legasi Nor Zamri atau Abang Zam sekiranya beliau diberi mandat sebagai wakil rakyat di Sungai Bakap selepas ini.

“Insya Allah, saya akan teruskan (legasi) dan sehingga kini, saya masih terbayangkan dan mengingati arwah kerana kami terlalu rapat.

“Banyak kenangan manis, pahit…semua ada dan itu membuatkan saya lebih bersedia untuk bekerja. Saya mahu berkhidmat kepada masyarakat di Sungai Bakap berbekalkan pengalaman yang telah saya timba dalam tempoh lapan hingga ke sembilan bulan yang lalu. Doakan saya,” katanya.

Abidin berkata demikian selepas diumumkan sebagai calon PN pada Majlis Pengisytiharan Calon PRK DUN Sungai Bakap oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Simpang Ampat, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, eksekutif logistik yang juga merupakan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal itu turut merayu agar penduduk setempat menunaikan tanggungjawab dengan keluar mengundi pada 6 Julai depan.

“Bantu saya untuk mengekalkan kemenangan Perikatan Nasional di Sungai Bakap,” kata anak kelahiran Sungai Duri di Sungai Bakap itu lagi.

Terdahulu, Tuan Ibrahim dalam ucapannya berkata, PN yakin Abidin mampu membawa mandat rakyat sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap yang baharu selepas ini.

“Abidin merupakan anak jati Sungai Bakap dan pengalaman beliau yang pernah (bekerja) bersama arwah Abang Zam diyakini akan memudahkan urusannya sekali gus meningkatkan keyakinan sebahagian besar pengundi yang sememangnya sudah mengenali beliau,” ujarnya.

Lawan Abidin pada PRK DUN Sungai Bakap setakat ini ialah calon Kerajaan Perpaduan iaitu bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara, Dr. Joohari Ariffin daripada PKR.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal sebelum ini memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos lepas selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR iaitu Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×