KANGAR: Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan impian sepasang suami isteri menimang cahaya sulung tidak kesampaian apabila bayi yang di dalam kandungan berusia lima bulan keguguran dalam kejadian dihempap pokok tumbang di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat.
Manakala pasangan tersebut masing-masing berusia 18 tahun juga mengalami kecederaan dengan remaja itu antara lain mengalami pendarahan di dalam kepala dan patah tulang belakang kanan serta kiri dan kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Itu antara satu daripada kes kemalangan akibat kejadian pokok tumbang khususnya apabila setiap kali negeri ini berdepan angin kencang atau hujan lebat.
Kewujudan pokok besar seperti jati yang berusia puluhan tahun khususnya di tepi-tepi jalan atau di dalam kampung diibarat ‘perangkap maut’ yang mengundang kegusaran kepada orang ramai.
Meskipun kebanyakkan pokok yang berusia lebih 30 tahun itu sudah ditebang namun kewujudan pokok-pokok tersebut didapati masih banyak termasuk di kampung-kampung.
Dalam tempoh lima tahun tahun dari 2020 sehingga 2024 menerusi data Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri sebanyak 653 kes pokok tumbang dilaporkan. Manakala data daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri pula sebanyak 200 kes pokok tumbang dalam tempoh sama.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 kes pokok tumbang yang melibatkan kemalangan membabitkan mangsa dan harta benda seperti pokok tumbang menimpa kediaman, tumbang atas kenderaan, tumbang menghalang laluan serta menyebabkan kemalangan kenderaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Mohd Daud berkata, antara faktor pokok tumbang selain daripada ribut adalah seperti hujan berterusan menyebabkan struktur tanah lembut, faktor usia pokok berkenaan khususnya membabitkan pokok-pokok di tepi jalan, kawasan kampung, berbukit dan persisiran pantai di negeri ini.
Katanya, lokasi-lokasi panas pokok tumbang antaranya seperti di kawasan Arau dan Kangar dengan pokok-pokok yang dikenalpasti itu seperti pokok jati, buku lima, asam, jawi, kekabu, buluh serta pelbagai lagi.
Sementara itu, Pengarah Bomba negeri, Mohd Zaidi Ma’at berkata, pokok-pokok tua khususnya di tepi jalan sewajarnya ditebang kerana berisiko menjadi perangkap maut bagi pengguna lalu lintas.
Katanya, dalam tempoh lima tahun ini sahaja, hampir 200 kes pokok tumbang direkodkan di negeri ini dan berdasarkan statistik bagi tempoh sama, lima kes melibatkan kecederaan kepada mangsa manakala satu kes maut direkodkan pada tahun ini.
Bermula 17 Mei hingga September depan, negeri ini berada dalam fasa monsun barat daya di mana berlakunya fenomena garis badai yang membawa kepada hujan lebat, angin kencang dan ribut petir terutamanya pada waktu pagi.










