Penggangur jadikan Honda CRV stor dadah diberkas

Penganggur jadikan Honda CRV stor dadah diberkas

HAMZAH Ahmad (kanan) menunjukkan bahagian kereta yang dijadikan tempat menyimpan dadah jenis ganja dalam satu sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Taktik licik seorang seorang penganggur yang menjadikan kereta miliknya sebagai stor menyimpan dadah jenis ganja terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Gat Lebuh Maccalum, di sini Jumaat lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1 tengah hari itu, polis turut merampas ganja seberat hampir 100 kilogram (kg) bernilai RM309,000 yang disimpan di dalam kotak penyimpanan barang di dalam kereta jenis Honda CRV itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek berusia 46 tahun itu telah ditahan di kawasan parkir motosikal di pangsapuri berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat dua ketulan mampat ganja seberat hampir dua kilogram (kg) bernilai RM6,000 bersama suspek.

“Kemudian, dengan dipandu arah oleh suspek, polis seterusnya memeriksa sebuah kereta jenis Honda CRV yang terletak 500 meter dari lokasi suspek ditahan dan menemukan empat kotak plastik di tempat duduk penumpang.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai 98 ketulan mampat ganja seberat 98 kg bernilai RM303,000 yang disimpan di dalam kotak berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Hamzah, siasatan awal polis mendapati, suspek berkenaan aktif mengedar dadah sejak awal bulan ini dan menjadikan kereta tersebut sebagai stor penyimpanan dadah.

“Kereta itu memang tidak bergerak dan ia diletakkan di bahagian parkir apartmen (pangsapuri) ini.Apabila ada pelanggan mahu membeli dadah, suspek akan menjalankan urus niaga di parkir tersebut.

“Suspek akan menunjukkan dadah yang berada di dalam kereta tersebut dan apabila pelanggan bersetuju, maka, dia akan terus menjual dadah kepada mereka,” katanya yang memberitahu, dadah terbabit dipercayai dipasarkan di sekitar negeri ini dan andai terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh 200,000 penagih.

Tambah beliau, saringan ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek pula mendapati dia positif dadah.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 21 Jun nanti bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya yang memaklumkan suspek mempunyai 12 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×