GEORGE TOWN: Seorang pesara kilang rugi sebanyak RM733,300 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian Falcon PE.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menerima laporan daripada lelaki berusia 66 tahun itu, Rabu lalu.
Katanya, berdasarkan laporan, penipuan tersebut bermula pada awal Mac apabila mangsa menerima mesej teks daripada seorang wanita yang mendakwa mewakili syarikat pelaburan bernama Blue Star AMG.
“Wanita ini menjanjikan pulangan pantas antara 10 hingga 15 peratus dalam tempoh hanya 20 minit untuk sebarang pelaburan yang dibuat melalui aplikasi Falcon PE.
“Terpedaya dengan janji pulangan tinggi, mangsa mengikut arahan memuat turun aplikasi tersebut, mendaftar sebagai pengguna dan mula membuat pelaburan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Hamzah, mangsa melakukan sebanyak 25 transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank berbeza antara 7 Mac hingga 24 April lalu kerana percaya ia sebahagian daripada proses pelaburan yang sah.
“Penipuan ini hanya disedari apabila mangsa cuba mengeluarkan keuntungan, tetapi diminta membuat bayaran tambahan sebelum dana tersebut boleh dilepaskan,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
Hamzah mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan berfikiran kritikal terhadap skim pelaburan yang dipromosikan dalam talian, terutama yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat. – UTUSAN










