PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa menyiasat semula kes penipuan melibatkan skim pelaburan mesin layan diri dan mesin kopi yang menyebabkan kerugian mencecah RM 13 juta.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya yang mewakili 205 mangsa hadir menyerahkan aduan rasmi bagi mendesak pihak berkuasa membuka semula kertas siasatan serta mengambil tindakan pendakwaan terhadap dalang yang terlibat.
Menurutnya, kedua-dua skim pelaburan itu menawarkan pakej pembelian mesin dengan jaminan pulangan keuntungan hasil operasi yang kononnya diuruskan sepenuhnya oleh syarikat terbabit.
“Jadi pada peringkat awalnya, pelabur-pelabur ini mendapat seperti mana yang dijanjikan, tetapi mereka tidak dapat pasti sama ada mesin ini benar-benar wujud atau sebaliknya kerana tiada kawalan terhadap operasi tersebut.
“Jadi apabila syarikat gagal menjelaskan pulangan seperti dalam perjanjian dan memberi pelbagai alasan sebelum akhirnya tidak membuat sebarang bayaran,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa telah membuat laporan kepada pihak polis bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan, selain Seksyen 403 dan 409 melibatkan pecah amanah.
Selain itu, laporan turut dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung dakwaan pelanggaran Akta Skim Kepentingan 2016 kerana skim tersebut tidak didaftarkan serta tidak mempunyai pemegang amanah bagi menguruskan dana pelabur.
Bagaimanapun, Hishamuddin berkata, mangsa dimaklumkan bahawa kes tersebut diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelabur.
“Keputusan itu amat mengecewakan kerana mangsa terpaksa menanggung kerugian besar dan hanya disarankan mengambil tindakan sivil, sedangkan ia tidak menjamin pemulangan wang mereka,” katanya.
Menurut beliau, mangsa juga telah mengemukakan rayuan kepada pihak pendakwaan negeri supaya siasatan dibuka semula, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang perkembangan.
Sehubungan itu, MHO menggesa AGC memberi keutamaan kepada kes berkenaan memandangkan ia melibatkan ratusan mangsa termasuk warga emas dan penjawat awam yang menggunakan wang simpanan untuk melabur.
“Mangsa hadir bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya sebagai satu permohonan dan rayuan kepada pihak berkuasa agar memberikan maklum balas mengenai kes ini,” katanya. – UTUSAN










