KUALA LUMPUR: Seorang pesara berputih mata selepas simpanan keluarganya lebih RM1 juta didakwa lesap akibat menyertai skim pelaburan forex berlesen yang dipercayai palsu.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 56, berkata, seluruh keluarganya turut terkesan apabila anak lelakinya berusia 29 tahun turut kehilangan semua simpanan selepas mempercayai pelaburan berkenaan.
“Saya sudah kehilangan seluruh simpanan keluarga saya dan jumlah kerugian melebihi RM1 juta. Anak saya yang berumur 29 tahun juga habis semua simpanannya kerana percaya dengan sindiket ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, hari ini.
Lim mendakwa mereka diarahkan memasukkan wang ke salah sebuah bank pelaburan di Labuan, dengan jaminan bahawa syarikat berkenaan mempunyai lesen dan kelulusan.
Lim turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa kewangan yang didakwa tidak memberi respons terhadap aduan para mangsa walaupun dana pelaburan dimasukkan melalui bank yang bertindak sebagai custodian.
“Semua nampak sah. Tapi yang saya pelik, mengapa pihak berkuasa seperti tidak mahu ambil tahu langsung?
“Kami sudah hubungi mereka, tetapi tiada tindakan. Telefon pun tidak dijawab, nak jumpa pun susah,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada 38 mangsa yang mendakwa menjadi mangsa pelaburan forex kononnya berdaftar dengan Labuan Financial Services Authority (LFSA).
“Syarikat ini menawarkan dan menjanjikan pulangan pelaburan urusan perniagaan forex dengan jumlah pulangan yang amat menarik.
“Jumlah keseluruhan kerugian yang direkodkan setakat ini mencecah RM4,953,722.10.” katanya. – UTUSAN










