MHO minta BNM buka siasatan baharu kes pelaburan saham babitkan `Datuk’

MHO minta BNM buka siasatan baharu kes pelaburan saham babitkan `Datuk’

HISHAMUDDIN Hashim (duduk, tengah) ketika bergambar bersama kesemua mangsa penipuan pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat MHO di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) meminta Bank Negara Malaysia (BNM) membuka siasatan baharu kes pelaburan saham didalangi seorang `Datuk’ membabitkan lebih 100 mangsa dengan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan, sehingga kini seramai 107 mangsa telah tampil membuat aduan membabitkan skim pelaburan berkenaan dengan kerugian direkodkan sebanyak RM59 juta.

Menurut Hishamuddin, modus operandi syarikat milik ‘Datuk’ itu adalah menjanjikan pulangan lumayan melalui pelbagai cabang perniagaan termasuk kedai serbaneka dan syarikat penerbangan sejak 2018.

“Untuk maklumat, dalang dan syarikat ini telah dikenakan tindakan pada November 2021 oleh BNM bersama beberapa agensi penguatkuasa dan mereka telah mengambil tindakan pentadbiran ataupun dipanggil administrative actions dengan mengenakan denda sebanyak RM50 juta.

“Setelah denda dibayar, mastermind ataupun dalang masih lagi meneruskan syarikat dan pelaburan berkenaan. Ini menggambarkan bahawa tindakan denda tidak memadai bagi kes-kes yang melibatkan pelaburan awam,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Hishamuddin berkata, pihak berkuasa perlu membuka kertas siasatan baharu di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, bukannya sekadar denda bersifat pentadbiran.

“Kita harapkan pihak BNM buka kertas siasatan baharu, dilengkapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara supaya ada satu pendakwaan yang bersifat jenayah di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan.

“Dan apa yang kita harapkan bukanlah satu tindakan bersifat administrative (pentadbiran), iaitu tindakan denda semata. Pada kami tindakan denda kepada suspek yang melibatkan pelaburan berskala besar ini tidak memadai,” katanya.

Tambahnya, MHO tidak teragak-agak melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menggunakan Seksyen 18 Akta SPRM kerana melibatkan pemerdayaan daripada ejen kepada prinsipalnya.

“Mungkin sudah sampai masanya kes-kes jenayah komersial melibatkan dana awam diambil alih oleh SPRM sekiranya tidak ada jalan penyelesaian,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN