KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat latihan sistem teknologi maklumat (IT) didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menggunakan dokumen palsu berhubung kursus penyelenggaraan portal dan aplikasi Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), tahun lepas.
Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian selepas Shaharuddin Ahmad, 45, mengaku bersalah memperdayakan seorang pegawai Sistem Maklumat MyIPO dengan menggunakan dokumen palsu.
Dokumen itu merupakan invois dan dokumen pengesahan perkhidmatan untuk ‘Kursus Full PHP with MySQL’ bertarikh 12 Disember hingga 14 Disember 2022 bagi tiga individu berjumlah RM4,500 atas nama Perusahaan Favourite Trainer Sdn. Bhd.
Tertuduh sebagai pemilik syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Teknologi Maklumat, Pejabat MyIPO, pada 15 Disember 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 465 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.
Semasa menjatuhkan hukuman, Rozina menegur perbuatan tersebut kerana sebagai ketua keluarga tertuduh sepatutnya menjadi contoh kepada empat orang anaknya.
“Walaupun kesempitan wang, ini bukan jalan untuk menyelesaikan masalah. Mahkamah memberi peluang terakhir kepada kamu (Shaharudin) dan tidak mengenakan hukuman penjara.
“Oleh itu, mahkamah mengenakan hukuman denda RM12,000 atau penjara 30 hari sekiranya gagal bayar denda,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, pada November 2022, tertuduh dihubungi Pegawai Sistem Maklumat (Gred IP8) Mohd. Nizam Abdul Rahman bagi menyediakan satu sebut harga berkaitan kerja perkhidmatan ‘Kursus Full PHP with MySQL’ dan tertuduh telah menghantar sebut harga tersebut melalui emel kepada Nizam.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menggunakan suatu dokumen iaitu invois dan dokumen pengesahan perkhidmatan untuk kursus tersebut bertarikh 12 Disember hingga 14 Disember 2022 bagi tiga penama.
Bagaimanapun, tertuduh mengetahui hanya Nizam sahaja hadir pada kursus tersebut manakala dua lagi penama iaitu Salamiah Saidin tidak mengetahui tentang kursus itu serta tidak menandatangani kehadiran sementara Nor Azlila Ahamad hanya mengetahui berkaitan kursus itu apabila dimaklumkan oleh Nizam dan tidak menghadirinya.
Di Mahkamah Sesyen lain, Hakim Suzana Hussin mengenakan denda RM12,000 atau penjara sebulan terhadap Nizam, 48, selepas mengaku bersalah bersubahat dengan Shaharuddin atas kesalahan sama.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya.
Kedua-dua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras manakala dua lelaki tersebut tidak diwakili peguam. – UTUSAN










