LUMUT: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersedia memberi kerjasama termasuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan ke penyelewengan penukaran hak milik tanah rizab Melayu di negeri ini.
Beliau yang juga salah seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak ketika kejadian pada 2012, bagaimanapun menjelaskan sehingga kini masih belum menerima sebarang panggilan daripada agensi tersebut berkaitan kes tersebut.
“Saya tiada masalah, jika SPRM panggil untuk beri keterangan, kita akan berilah.
“Saya tidak tahu bila (kes seleweng tanah rizab Melayu), tetapi saya menjadi Exco dalam tempoh itu, saya menjadi Exco bermula 2004 hingga 2008, sebelum terhenti seketika dan kemudian, dilantik semula dari 2019 hingga 2018.
“Jadi, jika (memang) berlaku dalam tempoh itu, saya bersedia bekerjasama dengan SPRM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di Dewan Merdeka, Seri Manjung, semalam.
Saarani bagaimanapun menegaskan status tanah itu sebenarnya masih sebagai rizab Melayu termasuk di dalam geran tanah tersebut, cuma pemilikannya diberi kepada sebuah syarikat milik bukan Melayu.
“Tetapi, tidak kerana menggantikan yang itu pun (tanah rizab Melayu di Sitiawan), memang Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ketika ini sedang menambah keluasan tanah rizab Melayu,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun mengakui kesukaran untuk menukar semula hak milik tanah rizab Melayu di Sitiawan itu daripada bukan Melayu kepada orang Melayu kerana ia melibatkan isu undang-undang.
“Untuk menukar balik pemilikannya kepada orang Melayu, ia melibatkan isu perundangan terutama lot tanah tersebut telah dipecahkan,” jelas beliau lagi.
Semalam, dilaporkan SPRM akan memanggil beberapa ahli MMK Negeri Perak bagi membantu siasatan berkaitan penukaran hak milik tanah rizab Melayu di Sitiawan, dekat sini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, ahli-ahli MMK yang akan dipanggil itu merupakan mereka yang berkhidmat ketika penukaran status tanah tersebut berlaku.
Untuk rekod, ketika tahun 2012, Saarani merupakan Exco yang memegang portfolio Pembangunan luar bandar, Pembasmian kemiskinan, Perladangan dan kebajikan di bawah pentadbiran pimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. – UTUSAN










