PENAMPANG: Semua perkara yang disepakati antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus diselesaikan segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan isu MA63.
Bagaimanapun, beliau mahu tuntutan dibuat harus mengambil kira perubahan yang berlaku.
“Sejak menjadi Perdana Menteri, saya telah mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mempengerusikan (Jawatankuasa Teknikal MA63) kerana hal yang disepakati bukan semua tuntutan Persekutuan, bukan semua tuntutan Sabah atau Sarawak. Hal yang telah disepakati dalam MA63 harus diselesaikan, saya tidak mahu tertangguh lagi.
“Setiap (mesyuarat) Kabinet, ada peluang saya tanya (MA63) kerana tidak mahu tangguhkan. Ada orang di Semenanjung, pembangkang kata Anwar melebih-lebih beri peruntukan kepada Sabah dan Sarawak, tidak adil kepada Kelantan dan Terengganu.
“Kita bukan hanya tangani masalah Sabah, sentimen-sentimen ini ada dan kita harus jawab sebab itu kita harus ada hubungan yang sangat baik, runding dengan baik. Jangan dilihat sebagai tuntutan yang mempersulit urusan kerja kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di sini, semalam.
Anwar berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan cadangan dikemukakan Pemimpin Agung Masyarakat Kadazandusun, Murut (KDM), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan namun berdepan masalah apabila ada suara-suara melemparkan tuduhan melampau.
“Saya hadapi masalah apabila ada suara-suara yang kadangkala dianggap melampau seolah-olah Kerajaan Persekutuan tidak buat apa-apa. Seolah-olah saya datang hanya nak balak, ada kepentingan.
“Kita kena hentikan sentimen ini kerana sentimen begini mengundang sentimen lain di negeri lain dan tidak akan membantu. Kadangkala sentimen ini dikeluarkan oleh orang-orang yang pernah berkuasa, semasa dia berkuasa tidak difikirkan itu semua.
“Sekarang apabila tidak ada kuasa, riuh rendah minta itu dan minta ini. Kita kalau hendak lakukan, saudara Hajiji (Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor) atau Anwar, kita lakukan sekarang, sedaya upaya kita selesaikan soal MA63,” katanya.
Menurut beliau, perbincangan dalam tempoh setahun Kerajaan Madani, kerajaan telah selesaikan masalah MA63 jauh lebih baik daripada apa yang dibuat daripada 10 tahun yang lalu.
Sementara itu, menurut beliau, hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah akan selesai sebelum hujung Julai ini.
Katanya, keutamaan diberi untuk membasmi kemiskinan tegar dan Sabah mempunyai masalah lebih serius berbanding Pulau Pinang serta Selangor.
“Saya fikir sementara kemiskinan itu mengambil masa untuk diselesaikan, kemiskinan tegar ini maknanya, uniform sekolah tidak mampu dibeli, makan minum, susu untuk bayi mungkin ada masalah.
“Mulanya ada sekitar 20,000 miskin tegar kemudian, kita ambil langkah-langkah segera dan sekarang tinggal 9,000 orang,” katanya. – UTUSAN










