KUANTAN: Kerajaan diminta melaksanakan kuota atau had pembelian diesel bagi memastikan tidak berlaku ketirisan ataupun salah guna dalam kalangan penerima subsidi bersasar bahan api berkenaan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah berkata, langkah itu juga penting bagi memastikan tiada lagi isu pembaziran diesel dan salah guna termasuk diseludup ke negara jiran.
Jelasnya, tiada jaminan penerima subsidi diesel bersasar tidak menyalahgunakan manfaat diterima kerana sebelum ini pun ia berleluasa berlaku sehingga menyebabkan ketirisan subsidi diesel negara melonjak 10 kali ganda kepada RM14.3 bilion pada tahun lalu daripada RM1.4 bilion pada 2019.
“Sebab itu perlu ada kuota khas bagi memastikan tidak ada penerima subsidi diesel ambil banyak bahan api ini, tapi hanya guna sedikit. Selebihnya diseleweng dan inilah yang berlaku sebelum ini.
“Kita sambut baik keputusan kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar cuma kita harap kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan.
“Penerima subsidi diesel pun perlulah jujur dan ikhlas. Janganlah sapu banyak dan jual tepi demi mengaut keuntungan. Kita harap perkara ini diberikan penekanan serius oleh pihak kerajaan,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi terhadap diesel terlebih dahulu sebelum disusuli dengan petrol RON95.
Perdana Menteri berkata, penyasaran subsidi diesel itu hanya melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia dan langkah itu membantu kerajaan melakukan penjimatan kira-kira RM4 bilion setahun.
Selepas ini, subsidi diesel disalurkan secara bersasar melalui dua kaedah, iaitu pertama membabitkan subsidi harga runcit di stesen minyak kepada 33 jenis pengangkutan awam dan barangan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), manakala kedua, menerusi subsidi bantuan tunai RM200 kepada isi rumah menggunakan kenderaan diesel bagi kategori individu atau agrikomoditi melalui Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani).
Mekanisme ini dijangka bukan sahaja dapat membantu golongan B40 dan M40, bahkan mengelakkan kesan tidak diingini seperti peningkatan harga barang.
Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, pelaksanaan diesel secara bersasar memerlukan kajian terperinci dan menyeluruh oleh kerajaan bagi memastikan ia mencapai manfaatnya bagi membendung ketirisan dan penyeludupan.
“Tiada guna kerajaan laksana penyelarasan subsidi diesel tetapi isu utama yang membelenggu iaitu ketirisan dan penyeleludupan terus berleluasa dan negara terus rugi berbilion ringgit setahun.
“Bukan sahaja kena pantau penerimanya, kerajaan juga perlu pastikan harga apungan diesel selaras dengan negara ASEAN lain.
“Kalau sama tentu tiada lagi isu penyeludupan bahan api ini, tetapi kini harga diesel kita lebih murah,” katanya.
Jelasnya, pelaksanaan subsidi diesel bersasar perlu tampil dengan formula terbaik bagi memastikan isu membabitkan minyak masak paket yang sehingga kini tiada penyelesaian. – UTUSAN










