ALOR SETAR: Sebuah lagi kontena tertera logo ZIM iaitu syarikat perkapalan berpangkalan di Israel dikesan cuba memasuki negara ini melalui laluan darat di Kedah, semalam.
Timbalan Pengarah Kastam Kedah, Suhaime Affindi Zainol Abidin berkata, kenderaan itu cuba memasuki Malaysia melalui pintu masuk di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
“Kira-kira pukul 12 tengah hari, sebuah lori treler bernombor pendaftaran Thailand dikesan membawa kontena yang mengandungi dagangan peralatan komputer melakukan pengikraran Borang K1 bagi tujuan pengimportan ke dalam negara.
“Hasil penelitian anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah, kontena yang digunakan adalah berasal dari Israel berdasarkan logo ZIM yang tertera pada badan dinding luar kontena tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kenderaan tersebut ditahan untuk mendapat pengesahan dan kemudian telah diarah berpatah balik ke Thailand pada pukul 1.30 tengahari hari yang sama.
Sementara itu, Suhaime Affindi berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN











