BUKIT MERTAJAM : Kerajaan akan meneliti implikasi berhubung cadangan untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu harus dibincangkan secara terperinci terlebih dahulu sebelum ia dapat direalisasikan.
“Itu (cadangan meletakkan SPRM di bawah Parlimen) harus kita bincang kerana ahli politik ini kadang-kadang juga dipantau (oleh SPRM).
“Jadi, kita kena teliti implikasi juga sebab ahli politik ini sekiranya diberikan kuasa, itu berada dalam radar SPRM. Maka, kita kena teliti syarat-syarat ketat (sebelum melaksanakannya),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki membangkitkan isu tidak bersetuju dengan cadangan terbabit ketika menjadi tetamu podcast satu penerbitan berita kerana katanya, SPRM merupakan satu-satunya agensi yang dipantau oleh lima badan bebas berbanding Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong yang hanya dipantau empat badan pengawasan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun SPRM tidak diletakkan di bawah Parlimen namun, namun menjadi tanggungjawab badan itu untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat salah laku.
“Sekarang ini, yang penting siasat dan ada bukti yang nyata, yang kena dakwa, jawab, itu yang penting…kemudian gunakan ‘technical argument’, jangan lari dari kenyataan.
“Saya tak peduli dan kalau ada bukti, jangan reka, jangan aniaya, ada bukti jawab, ada fakta jawab, itu yang penting,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar dalam ucapannya berkata, beliau tidak pernah melihat SPRM ‘garang’ dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang terpalit dengan kes rasuah.
“Saya tengok SPRM tidak pernah dalam sejarah garang macam sekarang. Dalam hal ini, kita kena jaga imej kita. Apabila orang tiada keyakinan, susah dan kita pula tak cukup duit nak tolong rakyat,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah menghadiri kenduri korban anjuran rakan baiknya, Hamzah Mat Isa di Kampung Mengkuang Semarak, di sini hari ini.
Kedua-duanya meluangkan masa hampir 45 minit dan beramah mesra bersama tetamu yang hadir di majlis terbabit.-UTUSAN










