BAGAN DATUK: Kartunis komik Ujang, Muhammad Najid Mohd Rudin, 50, berharap ada pihak membantunya menyediakan premis untuk berkarya supaya dapat berkongsi dan mengetengahkan bakatnya kepada umum.
Muhammad Najid, yang merupakan pelukis untuk ruangan ‘Anak Bapa’ dalam komik Ujang, kini berkarya di rumahnya di Kampung Tebuk Haji Tahir dekat sini dan berhajat mengembangkan karyanya agar lebih dekat dengan masyarakat dan pelancong di Bagan Datuk.
Menurutnya, karya seni kartun yang dihasilkannya boleh menambahkan pilihan kepada pelancong yang berkunjung ke daerah ini.
“Saya adalah anak jati Bagan Datuk yang masih menyumbang karya untuk komik terkenal, Ujang. Selama 31 tahun berkecimpung dalam dunia lukisan kartun dan komik, saya gembira kerana komik kartun masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
“Berikutan kedatangan pelancong ke Bagan Datuk yang semakin meningkat, saya merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk saya berkongsi dan mengetengahkan karya saya kepada pelancong.
“Untuk itu saya memerlukan satu ruang atau pejabat untuk saya berkarya dan mempamerkan karya-karya saya kepada pelancong. Saya percaya jika diwujudkan ruangan khas untuk saya berkarya, ia boleh menarik pelancong,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berkongsi pengalamannya bergelar kartunis, Muhammad Najid berkata, dia memulakan karier bersama majalah Gelagat pada tahun 1994 dan kemudiannya menyertai majalah Ujang pada tahun 1997 sehingga kini.
Menurutnya, walaupun penjualan komik kartun tidak seperti tahun 90-an tetapi peminat lukisan kartun tetap ada.
“Peminat karya kartun tetap ada terutama kanak-kanak yang kini beralih kepada membacanya digital,” jelasnya. – UTUSAN










