NIBONG TEBAL: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan jentera Kerajaan Perpaduan supaya tidak terlalu yakin untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap ini.
Katanya, biarpun kekuatan jentera didepani pimpinan hebat Kerajaan Perpaduan antaranya Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Rashidi Zinol, namun, misi itu diakui bukanlah satu kerja mudah.
“Ini kerana impian kita adalah untuk menawan kembali kerusi yang dimenangi pihak pembangkang. Kita jangan selesa, jangan terlalu yakin kerana kita nak tawan. Maka, gerak kerja juga perlu dilipatgandakn berbanding usaha hendak mempertahankannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau projek pembinaan Depot Tahanan Imigresen dan Kuaters Jawi di Nibong Tebal, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut menyeru supaya pengundi membuat pilihan yang tepat pada 6 Julai nanti.
Katanya, calon Kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin bukan sahaja pilihan terbaik malah diyakini dapat membawa suara rakyat.-UTUSAN









