JAIS arah Ustaz Don kemuka kenyataan bertulis - Utusan Malaysia

JAIS arah Ustaz Don kemuka kenyataan bertulis

Ustaz Don
Ustaz Don Daniyal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan pendakwah selebriti Ustaz Don Daniyal mengemukakan kenyataan bertulis kepada Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung fakta-fakta dalam ceramah agama dibuatnya.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas jawatankuasa tersebut bermesyuarat semalam dan memutuskan demikian selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Selangor) 2008.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid diarahkan demikian bagi membolehkan penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadapnya.

“Berdasarkan beberapa aduan yang diterima oleh pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS, satu kertas siasatan juga dibuka terhadap Ustaz Don di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, JAIS pada 21 Jun lalu mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla bagi menangguhkan atau tidak membuat apa-apa tindakan mengundang Ustaz Don untuk mengajar agama Islam di premis masing-masing.

“Ketetapan itu dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Ustaz Don disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Shahzihan turut menyarankan semua pihak di negeri ini dapat berkerjasama dan akur serta dapat mematuhi arahan untuk tidak mengundang atau membatalkan sesi ceramah atau apa-apa jua bentuk pengajaran agama Islam yang akan dilaksanakan melibatkan Ustaz Don.

Arahan tersebut berkuatkuasa sehingga Jawatankuasa Tauliah MAIS membuat keputusan muktamad tentang kedudukan beliau sebagai pemegang tauliah mengajar MAIS.

“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat menekankan kepada para pemegang tauliah agar umat Islam di negeri ini dapat diberikan kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam.

“Sehubungan itu, JAIS perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di Negeri Selangor berkaitan apa jua bentuk pandangan-pandangan dan pernyataan tentang hukum-hakam agama Islam yang tidak berasaskan nas dan dalil yang sahih serta di luar pengetahuan umum majoriti umat Islam,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN