Jabatan Peguam Negara tidak teruskan kes rogol babit Ebit Lew  - Peguam

Jabatan Peguam Negara tidak teruskan kes rogol babit Ebit Lew  – Peguam

EBIT LEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendakwa bebas, Ebit Lew tidak akan didakwa atas tuduhan merogol seorang pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo selepas Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan kes tersebut (no further action).

Menurut peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Ebit atau nama penuhnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, segala barang kes yang dirampas seperti telefon bimbit dan kad sim juga telah dipulangkan semula oleh pihak polis.

“Polis sudah selesai siasatan (dakwaan) rogol yang dibuat oleh Mondy terhadap Ebit Lew pada 14 September 2023. Keputusan oleh Timbalan Pendakwa Raya adalah tidak diteruskan. Jadi Ebit tidak akan dituduh (di mahkamah) sebab tiada kes dan barang kes (seperti) telefon bimbit dan kad sim milik Ebit juga telah dipulangkan semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sebagai peguam Ebit telah dimaklumkan sendiri oleh pihak polis semalam,” kata peguam terbabit melalui aplikasi Whatsapp.

Pada 21 September 2023, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain menyatakan pihak polis telah memanggil 13 orang saksi untuk membantu siasatan.

Tambahnya, pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung dakwaan rogol tersebut selain laporan polis daripada Ebit sendiri yang mendakwa dirinya difitnah menerusi sebuah ‘podcast’ khas bertajuk ‘The Mondy Tattoo Interview’.

Media sebelum ini melaporkan, polis telah merakam percakapan penyanyi rap, Caprice dan Mondy Tattoo  berhubung laporan yang dibuat Ebit.

Selain itu, Akberdin turut memaklumkan bahawa Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan 1 Julai ini untuk menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh Mondy selepas mahkamah membenarkan permohonan Ebit untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap wanita itu.

Pada 26 September 2023, Ebit memfailkan saman fitnah terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli dan Mondy  atau nama sebenarnya, Dita Restu Amanda.

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Ebit selaku plaintif memberitahu, beliau mula mengenali Mondy yang memperkenalkan dirinya sebagai ibu tunggal dan gelandangan ketika menjalankan aktiviti kemanusiaan di Jakarta, Indonesia pada 7 Jun 2023.

Pada 12 Jun 2023, Mondy datang ke Malaysia bagi mempelajari dan mendalami agama Islam di Ma’ahad Ad-Dirasaatil Islamiyyah, Sri Petaling di sini namun kemudiannya Ebit difahamkan bahawa wanita itu mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pembelajarannya dan pulang ke Indonesia pada Julai tahun sama.

Pada 15 September 2023, Caprice memuat naik rakaman siniar (podcast) yang mana Mondy merupakan tetamu jemputan rakaman itu.

Rakaman itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif melakukan gangguan seksual terhadap Mondy, mengambil kesempatan terhadap wanita itu dan merupakan seorang individu yang tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.

Dalam tempoh 9 hingga 22 September 2023, Caprice memuat naik pratonton berhubung rakaman siniar tersebut yang turut mengandungi kenyataan-kenyataan berbaur fitnah dan dakwaan kononnya Ebit disiasat berhubung tuduhan rogol.

Plaintif mendakwa defendan pertama secara jahat menerbitkan video-video tersebut tanpa membuat sebarang pengesahan fakta daripada plaintif mahupun peguamnya.

Akibat penerbitan video-video tersebut, terlalu banyak komen-komen negatif, cacian dan makian dikeluarkan oleh pengikut akaun Youtube Caprice.

Plaintif turut mendakwa kenyataan-kenyataan berbau fitnah yang dikeluarkan oleh Caprice dan Mondy menyebabkannya dikecam, diejek dan diaibkan.

Oleh itu, selain perintah injunksi kekal terhadap kedua-dua defendan, Ebit turut memohon Caprice dan Mondy membuat permohonan maaf yang akan disiarkan di semua laman sosial dalam tempoh 48 jam selepas kedua-dua individu itu diserahkan dengan perintah termeterai.

Plaintif turut memohon ganti rugi am, teladan, pampasan dan teruk yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah. Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×