Dua lelaki disyaki terlibat kes khianat rumah Koo Ham - Utusan Malaysia

Dua lelaki disyaki terlibat kes khianat rumah Koo Ham

NGEH Koo Ham (dua dari kanan) dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat beliau di Ayer Tawar hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Sekurang-kurangnya dua lelaki disyaki terlibat dalam kes khianat terhadap rumah dan kenderaan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, di Ayer Tawar, dekat sini, pada awal pagi 10 Januari lalu.

Menurut Koo Ham, difahamkan ia berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah rumah berdekatan menunjukkan seorang lelaki keluar dari tempat duduk penumpang belakang dan melempar dua ‘molotov cocktail’ atau bom petrol ke arah rumahnya.

“Bagaimanapun, sehingga kini polis belum menghubungi saya dan difahamkan belum ada tangkapan dilakukan.

“Saya harap polis dapat menyelesaikan kes ini,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat beliau di Ayer Tawar, hari ini.

Beliau memaklumkan, kerosakan di siling serta bumbung garaj rumah serta kereta Honda CR-V sudah dibaiki tetapi kereta Mercedes Benz yang hangus tidak dapat diselamatkan.

Jelasnya, sehingga kini polis masih melakukan rondaan di sekitar perumahannya yang dilakukan sekian lama kerana rumahnya pernah disimbah cat serta balingan telur.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak polis tetapi berharap pasukan itu dapat meningkatkan perisikan agar kes itu dapat segera diselesaikan.

Sebelum ini, berlaku kebakaran di rumah Ahli Parlimen Beruas itu sehingga menyebabkan kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi 10 Januari itu, siling dan bumbung garaj kediaman di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar itu turut terbakar.

Siasatan polis kemudian mengesahkan terdapat perbuatan khianat apabila menemui ‘molotov coctail’ di lokasi kejadian kebakaran tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN