Isu mahkamah syariah disyaki punca rumah dibaling bom petrol - Utusan Malaysia

Isu mahkamah syariah disyaki punca rumah dibaling bom petrol

NGEH Koo Ham
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS : Datuk Ngeh Koo Ham percaya kenyataannya mengenai isu mahkamah syariah baru-baru ini menjadi punca rumahnya di Ayer Tawar dekat sini, dibaling dengan ‘molotov cocktail’ atau bom petrol  awal pagi tadi.

Ahli Parlimen Beruas itu tidak mengesyaki sebab lain kerana beliau tidak terlibat dalam sebarang pertelingkahan atau pergaduhan dengan mana-mana individu ketika ini.

Beliau juga tidak menerima sebarang ugutan atau ancaman sama ada dalam bentuk panggilan atau mesej sebelum ini.

“Saya tinggal di Ayer Tawar sudah lima generasi, saya tiada musuh di sini.

“Rumah saya juga tiada CCTV (kamera litar tertutup), tidak perlu, kerana semua orang kenal (saya),” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Beruas di sini hari ini.

Menurutnya, polis ada meronda kawasan rumahnya kebiasaan pada pukul 1 pagi tetapi kejadian yang menyebabkan sebuah keretanya hangus itu berlaku kira-kira pukul 3 pagi.

Pada 28 Disember lalu, Penasihat DAP Perak itu mengeluarkan kenyataan mencadangkan agar pakar undang-undang bukan Islam dimasukkan dalam jawatankuasa khas mengkaji bidang kuasa mahkamah syariah, bagi memberi pandangan masyarakat bukan Islam.

Kenyataan itu bagaimanapun mendapat kecaman pelbagai pihak khususnya orang Islam memaksa beliau memohon maaf dan menarik balik cadangan tersebut.

Menurut Koo Ham, kecaman yang diterima selalunya dalam media sosial tetapi tiada mana-mana individu yang marah atau tidak mahu berjabat tangan dengannya ketika menghadiri kenduri, berjumpa ketua kampung serta ketika menghadiri sambutan ambang tahun baharu di Manjung bersama ribuan orang Melayu Islam, baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut beliau lagi, pemimpin pembangkang menuduhnya sebagai cuba mencampuri urusan agama Islam sehingga mengelirukan orang ramai khususnya masyarakat Islam.

Beliau mendakwa kenyataan-kenyataan pemimpin pembangkang itu mendorong kebencian terhadapnya sehingga boleh menimbulkan keganasan.

“Mereka mengapi-apikan dan menghasut orang untuk membenci saya, ini adalah keganasan, jadi saya syaklah (punca kejadian tersebut),” ujar beliau.

Justeru, Koo Ham menyatakan pemimpin pembangkang harus memohon maaf secara terbuka kerana tidak sepatutnya memanipulasi emosi orang ramai.

Beliau bagaimanapun memaafkan pelaku yang membaling ‘molotov cocktail’ jika individu tersebut berbuat demikian disebabkan terpedaya dengan hasutan oleh pihak lain untuk membencinya seterusnya melakukan jenayah.

“Saya harap jika kita mahu jadi negara yang progresif, (tidak boleh) sikit-sikit mahu emosi.

“Jika ada cadangan, kita boleh bincang dan jika tidak setuju, boleh tolak cadangan itu kerana jika Malaysia mahu maju, mesti boleh berbincang dalam apa-apa cadangan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya