Tujuh individu beri keterangan kes khianat Ngeh Koo Ham

Tujuh individu beri keterangan kes khianat Ngeh Koo Ham

KEADAAN kereta Ngeh Koo Ham yang terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat di kediamannya di Ayer Tawar dekat Beruas semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Tujuh individu sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes khianat yang menyebabkan kebakaran kereta dan sebahagian rumah Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, awal pagi semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, berkata sehingga kini pihaknya masih memburu suspek yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.

“Tiada tangkapan lagi dan setakat ini polis sudah ambil percakapan daripada tujuh individu bagi membantu siasatan,” katanya kepada media hari ini.

Semalam, polis mengesahkan terdapat perbuatan khianat apabila menemui ‘molotov coctail’ di lokasi kejadian kebakaran di garaj kediaman Datuk Ngeh Koo Ham sehingga menyebabkan tiga kenderaan dan sebahagian siling dan bumbung rumah Ahli Parlimen Beruas itu terbakar, awal pagi semalam.

Sehubungan itu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Turut terbakar ialah siling dan bumbung garaj kediaman di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar itu.

Mohd. Yusri memberitahu polis juga menunggu laporan 11 sampel yang diambil unit forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lokasi kejadian, bagi membantu siasatan.

Sehingga kini, jelasnya, polis terus memantau di lokasi kejadian serta mempertingkat rondaan di sekitar kawasan perumahan tersebut.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian pagi ini mendapati suasana tenang seperti biasa di kawasan perumahan tersebut.

Keadaan rumah Koo Ham juga berkunci dan tiada kelibat mana-mana agensi dilihat dalam kawasan rumah banglo dua tingkat itu.

Kedudukan tiga kenderaan yang terbakar juga masih berada di tempat asal dengan terdapat pita kuning polis dipasang di kawasan itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya