Diesel: KPDN jangka berlaku pencatutan harga barang, perkhidmatan menjelang Aidiladha - Utusan Malaysia

Diesel: KPDN jangka berlaku pencatutan harga barang, perkhidmatan menjelang Aidiladha

Fleet card sistem kawalan subsidi ada had isian liter - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri tidak menolak kemungkinan berlakunya pencatutan harga barangan dan perkhidmatan menjelang Hari Raya Aidiladha susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia bermula hari ini.

Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, bagaimanapun, pihaknya akan meneruskan pemantauan secara lebih serius bagi memastikan tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan dengan melakukan tindakan tersebut.

Berikutan itu, beliau berkata, KPDN turut melanjutkan waktu pengoperasian Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Center) sehingga pukul 10 malam setiap hari bagi memudahkan proses aduan dan siasatan dilaksanakan segera.

“Bagi hari pertama pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ini, kita masih belum terima apa-apa aduan namun KPDN sentiasa siap sedia bagi memantau sebarang tindakan pencatutan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“KPDN juga meminta orang ramai agar dapat tampil membuat laporan kepada kami secara rasmi bagi memudahkan tindakan diambil,” katanya selepas tinjauan penguatkuasaan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di sekitar Padang Besar, di sini, hari ini.

Harga diesel di semua stesen runcit petrol di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula hari ini.

Kenaikan sebanyak RM1.20 seliter itu, bagaimanapun boleh berubah setiap minggu mengikut harga semasa.

Penyasaran subsidi diesel ini dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS).

Mengulas lanjut, Norazah berkata, sebanyak 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan di negara ini akan terus menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan SKDS.

Dalam pada itu, Norazah berkata, KPDN turut melancarkan Ops Kesan 2.0 bermula Sabtu lalu dalam membendung risiko pencatutan harga barangan dan perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel itu.

Katanya, terdapat lima pendekatan digerakkan antaranya seperti melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan bermula pada 2 Mei lepas untuk dijadikan asas perbandingan harga sebelum serta selepas penyasaran subsidi berkenaan.

“KPDN turut menubuhkan pasukan tugas khas di peringkat Ibu Pejabat bagi menyelaras dan menyelesaikan isu-isi yang timbul daripada pelaksanaan ini. Oleh itu, orang ramai diseru menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran disediakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×