Bunuh suami: Wanita, kekasih terlepas hukuman mati

Bunuh suami: Wanita, kekasih terlepas hukuman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Bekas pasangan kekasih terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 36 tahun kerana membunuh suami kepada wanita itu yang ditikam ketika tidur dalam bilik di sebuah rumah di Petaling Jaya, 12 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian terhadap bekas penjaga stor, G. Puganeswaran, 34, dan suri rumah, K. Annamah, 47, selepas membenarkan permohonan semakan mereka untuk mengetepikan hukuman mati.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 17 Februari 2012 selain mengarahkan Puganeswaran dikenakan sebatan minimum sebanyak 12 kali.

Pada 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati, Puganeswaran dan jirannya Annamah bersalah membunuh pemandu lori G. Ganesan, 31, di flat berkenaan pada pukul 2.47 pagi, 16 Februari 2012.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ng Siew Wee membantah permohonan semakan itu atas alasan pembunuhan tersebut telah dirancang  dengan melibatkan empat remaja lain.

Hujah pendakwaan, kejadian itu dilakukan hasil konspirasi kedua-duanya selain remaja-remaja tersebut dijanjikan habuan RM5,000 seorang yang akan diambil daripada wang persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mangsa.

Siew Wee bersama-sama TPR Norzilati Izhani Zainal turut berhujah, Puganeswaran dan Annamah menjalin hubungan sulit dan wanita itu sendiri yang merosakkan rumah tangganya.

Sementara itu, peguam A. Saha Deva yang mewakili Puganeswaran memohon hukuman mati terhadap anak guamnya diketepikan atas alasan kes itu bukan di bawah kategori `yang paling jarang, di antara yang jarang berlaku’ manakala mangsa telah mendera isterinya.

Hujah peguam, anak guamnya tidak berada dalam bilik berkenaan ketika kejadian tersebut sebaliknya insiden itu hanya melibatkan Annamah dan keempat-empat remaja berkenaan.

“Remaja-remaja itu tidak tahu pun bahawa wang ganjaran RM5,000 yang dijanjikan itu diperoleh dari simpanan KWSP mangsa,” ujarnya.

Sementara itu, peguam Wan M. Razali Wan A. Kadir yang mewakili Annamah berhujah, peranan anak guamnya terlalu kecil iaitu hanya bertindak membuat `missed call’ kepada Puganeswaran, membuka pintu rumah selanjutnya memberi bantal kepada empat remaja berkenaan.

Ujarnya, Annamah hanya memudahkan aksi pembunuhan manakala remaja-remaja itu masing-masing memegang kaki, menekup muka dengan bantal manakala seorang lagi menikam dengan pisau.

Keterangan kes menunjukkan, Annamah pada asalnya mengadu kepada Puganeswaran mengenai masalah rumah tangganya dan suaminya sering memukulnya selepas pulang ke rumah dalam keadaan mabuk.

Pada hari kejadian, selepas Ganesan masuk tidur, Puganeswaran memberi arahan kepada seorang remaja dan tiga rakannya supaya masuk ke rumah itu  manakala Annamah membuka pintu.

Annamah kemudian memberi mereka bantal yang digunakan untuk menekup muka lelaki itu manakala seorang daripada remaja tersebut memegang kaki sebelum seorang lagi menikam dengan pisau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN