BlackRock: Usul tergempar MP Machang ditolak

BlackRock: Usul tergempar MP Machang ditolak

WAN AHMAD FAYSHAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usul tergempar dikemukakan Ahli Parlimen Machang berhubung penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) kepada syarikat berkait BlackRock ditolak Timbalan Yang di-Pertua Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng.

Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dalam usulnya, menggesa penangguhan atau pembatalan penjualan sebahagian saham MAHB kepada syarikat berkait BlackRock.

Usul berkenaan dikemukakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1).

“Usul tergempar saya untuk bahas penangguhan atau pembatalan penjualan saham MAHB kepada syarikat pro-Zionis ditolak oleh Speaker.

“Saya akan terus runding dan desak dalam Parlimen supaya hal ini dapat dibahaskan dan semua rakyat tahu apa sebenarnya sudah dan akan berlaku ke atas aset strategik negara iaitu 39 buah lapangan terbang kita,” katanya pada sidang media selepas usul tergempar itu ditolak hari ini.

Selain itu, Wan Ahmad Fayhsal turut menunjukkan jawapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bertarikh hari ini terhadap usul yang difailkan beliau.

Dalam surat jawapan itu, Johari memaklumkan sudah meneliti usul dikemukakan antara lain mencadangkan supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan untuk merundingkan usul berkenaan.

“Untuk makluman Yang Berhormat, Peraturan Mesyuarat 18 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR) tidak mempunyai sebarang peruntukan supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan untuk merundingkan usul di bawah Peraturan berkenaan.

“Oleh itu, usul ini adalah tidak teratur kerana ia tidak menepati keperluan dalam Peraturan Mesyuarat 18 PPMMDR.

“Justeru, selaras dengan peruntukan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(7)(c) PPMMDR, saya menolak usul Yang Berhormat dalam kamar,” katanya menurut surat jawapan berkenaan.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan mengemukakan usul meminta kerajaan menarik semula keputusan penjualan sebahagian saham MAHB di Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) & 18(2) sebagai usul tergempar.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, usul sama dihantar mengikut Peraturan Mesyuarat 27(1) dan 27(3) pada awal Jun lalu sebagai usul persendirian yang dijadikan sebahagian daripada Aturan Urusan Mesyuarat (Ahli Bukan Kerajaan) bagi pertimbangan untuk dibahaskan.

Pada 15 Mei lalu, Gateway Development Alliance (GDA) dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki Konsortium, pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham bersamaan dengan RM18.4 bilion.

Konsortium itu diterajui dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan Malaysia iaitu Khazanah Nasional Bhd. melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN