Aset lebih RM471 juta 1MDB akan diserah kepada Malaysia

Aset lebih RM471 juta 1MDB akan diserah kepada Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Dana bernilai lebih AS$100 juta (RM471 juta) yang didakwa digelapkan daripada dana kekayaan milik Malaysia sebagai sebahagian daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dipulangkan kepada Malaysia. 

Lapor Bloomberg, persetujuan itu dicapai oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) dengan ahli perniagaan kelahiran Malaysia yang kini dalam buruan, Jho Low.

Pelucuthakan dua kes sivil itu diumumkan semalam, selepas Hakim Daerah AS, Dale Fischer di Los Angeles meluluskan perjanjian persetujuan dengan Jho Low serta ahli keluarganya dan entity amanah, Isnin lalu.

Menurut jabatan itu, karya seni oleh pelukis, Andy Warhol dan Claude Monet serta sebuah apartmen mewah di Paris akan dicairkan dan aset bernilai AS$67 juta (RM315.7 juta) akan dikembalikan kepada Malaysia.

“Perjanjian itu menyelesaikan tindakan rampasan sivil terhadap sebuah apartmen mewah di Paris dan karya seni yang terletak di Switzerland oleh Warhol dan Monet, yang dibeli Low dengan jumlah keseluruhan kira-kira AS$35 juta (RM165 juta).

“Selain itu, pihak-pihak itu juga bersetuju untuk memulangkan kepada Malaysia beberapa aset lain dan wang tunai dalam akaun bank bernilai kira-kira AS$67 juta (RM315.7 juta) yang terletak di Hong Kong, Switzerland dan Singapura,” kata Jabatan Kehakiman itu. 

Pendakwa raya mendakwa aset itu dikaitkan dengan wang tunai yang diperoleh untuk dana 1MDB sejak 2012 dan 2013.

Aset itu akan menambah kira-kira AS$1.4 bilion (RM4.7 bilion) yang telah dikembalikan dengan bantuan AS. 

Secara keseluruhan, lebih AS$4.5 bilion (RM21.2 bilion) didakwa dicuri daripada dana 1MDB.

Jho Low yang dikehendaki masih bebas dan tidak diketahui keberadaannya.

Sebelum ini, Jho Low membantu bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak menubuhkan 1MDB bagi menggalakkan pembangunan ekonomi.

Goldman Sachs, yang membantu 1MDB menjual bon mencapai penyelesaian AS$2.9 bilion (RM12.16 bilion) pada 2020 bagi kes jenayah AS berhubung 1MDB. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN