KUALA KANGSAR: Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid membuat laporan polis berikutan hantaran dalam Facebook berhubung ancaman simbahan asid terhadapnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau mendakwa membaca hantaran itu awal bulan ini yang menyatakan sesiapa menyimbah asid kepada wakil rakyat yang menyokong kerajaan akan menerima habuan RM10,000.
Baginya, ancaman itu seperti dituju kepada dirinya serta lima lagi ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.
Kesemua ahli Parlimen berkenaan sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala Abdul Rashid mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Laporan itu dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar pada Jumaat lalu. – UTUSAN










