PETALING JAYA: Isteri kepada tonggak skuad Harimau Malaya, Faisal Halim trauma dengan kejadian suaminya disimbah asid oleh individu tidak dikenali hingga mengakibatkan kelecuran di beberapa bahagian badannya.
Sumber terdekat kepada Faisal yang mesra dengan gelaran Mickey itu berkata, ketika kejadian, Nur Syazwani Mizuana Shahril juga dipercayai cedera di bahagian badan selepas terkena percikan asid berkenaan.
“Isterinya trauma dan fobia. Setakat pukul 12 tengah hari ini, Mickey sudah boleh bercakap sedikit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, keadaan fizikal tonggak skuad Harimau Malaya itu agak kritikal selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Shah Alam, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini pihaknya telah merakam keterangan 10 individu bagi membantu siasatan bagi kes tersebut.
Katanya, kesemua individu membabitkan mangsa dan beberapa saksi kejadian.
Jelas beliau, pihaknya masih sedang mengenal pasti motif kejadian sebenar.
“Kita sedang siasat, kita minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini.
“Kita juga sedang menahan reman lima hari sehingga 11 Mei ini seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang ditahan di Bandar Baru Bangi, Selangor petang semalam,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, siasatan polis ke atas suspek pertama yang ditahan, kelmarin di Pandan Indah dekat sini mendapati dia bukan pelaku dalam kes terbabit.
Beliau berkata, polis mendapati suspek sebenar kes itu yang menaiki motosikal semasa kejadian menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Katanya, nombor pendaftaran motosikal digunakan pelaku dalam kes ini, sama dengan nombor pendaftaran nombor pendaftaran motosikal milik suspek yang ditahan, kelmarin.
“Siasatan mendapati suspek pertama yang ditahan itu tiada kaitan dengan kes ini dan akan dibebaskan.
“Namun dia akan ditahan semula kerana ujian saringan air kencing ke atasnya mendapati dia positif dadah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hussein memaklumkan, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan dua ahli pengurusan Selangor FC kemungkinan menjadi sasaran seterusnya susulan insiden menimpa pemain bintang pasukan itu.
“Setakat ini dua laporan diterima daripada pihak pengurusan itu.Dua laporan bersangkut kes Faisal dan ia sebahagian daripada siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Pegawai pasukan yang menerima panggilan tidak membuat laporan, tetapi dipanggil untuk keterangan semalam,” katanya. – UTUSAN










