ISKANDAR PUTERI: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mendedahkan ada gerakan yang cuba melakukan pembunuhan watak terhadap baginda sejak akhir-akhir ini.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara itu berlaku kerana baginda merupakan anak raja yang paling lantang memperjuangkan isu rakyat berbanding yang lain sehingga menyebabkan ada pihak luar yang kurang senang.
“Saya tak boleh dibeli, saya tak boleh dijolok-jolok dengan projek untuk saya diam. Kalau perkara itu betul, saya akan cakap betul dan sekiranya perkara itu tak betul, saya akan cakap tak betul, tak kisah ia dari kerajaan ataupun parti politik.
“Oleh kerana kelantangan saya dan sentiasa memainkan isu kepentingan negeri Johor dan rakyat Johor, ada pihak luar yang kurang senang dengan saya dan adanya gerakan character assassination ini,” dedah baginda pada sesi podcast secara langsung sempena Program Johor Youth Meet-up di Kompleks Sukan Educity, di sini semalam.
Dalam pada itu, baginda mengakui tidak terkesan dengan gerakan tersebut dan akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor yang sentiasa menjadi keutamaan selama ini.
“Ini adalah motivasi buat saya, saya harap apabila sudah tidak ada lagi dalam dunia ini, rakyat Johor akan kenang jasa dan perkhidmatan saya kepada negeri ini.
“Jika saya tak boleh guna kedudukan yang diberikan ini (Pemangku Sultan Johor) dan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk melakukan perubahan, baik tak perlu sahaja kedudukan ini.
“Matlamat saya adalah untuk membuat perubahan dan perbaiki negeri Johor dan kehidupan rakyatnya dari setiap aspek, termasuk pembangunan infrastruktur, pendidikan dan sebagainya,” katanya. –UTUSAN










