Abidin nafi elak bertemu media

Abidin nafi elak bertemu media

ABIDIN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menafikan wujudnya arahan untuk beliau mengelakkan diri daripada bertemu pihak media.

Tegasnya, tiada niat untuk beliau menolak daripada bercakap dengan media, sebaliknya, beliau memberi alasan bahawa dirinya sibuk susulan jadual padat sepanjang kempen berlangsung.

“Tak elak (media), bukan ada masalah (arahan) dan memang saya pun (ada) kerja banyak, dengan ceramah dan pergi sana sini.

“Kadang-kadang letih juga. Saya minta maaf dan memang tak ada isu untuk saya nak elak media,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Abidin berkata demikian ketika diminta menjawab berhubung dakwaan kononnya wujud arahan untuk beliau mengelak daripada bertemu dengan pihak media.

Terdahulu, beliau hadir berceramah sempena Program Ceramah Kelompok Perikatan Nasional PRK N.20 Sungai Bakap yang berlangsung di UDM Sungai Duri, Nibong Tebal di sini malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa.

Sebelum ini, beberapa pengamal media mendakwa berdepan kesukaran untuk bertemu Abidin walaupun jadual kempennya telah dikongsikan menerusi aplikasi Whatsapp berkumpulan bagi tujuan liputan.

Pada PRK ini, Abidin akan ditentang oleh calon Kerajaan Perpaduan iaitu bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara, Dr. Joohari Ariffin daripada PKR dalam pertembungan ‘satu lawan satu’.

PRK tersebut terpaksa diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.

Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) ketika itu iaitu Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×