Tiga lagi anggota kastam dituduh terima rasuah untuk tidak periksa lori di KLIA - Utusan Malaysia

Tiga lagi anggota kastam dituduh terima rasuah untuk tidak periksa lori di KLIA

Kastam rasuah
MOHD. Naszrizal Othman, Marzuki A. Kadir dan Ahmad Samirrudin Muhammad Japri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan suapan berjumlah RM8,600, di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiga lagi anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berpangkat Pegawai Kastam Kanan dan Pembantu Penguasa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 24 pertuduhan rasuah membabitkan RM8,600 sepanjang Januari 2017 hingga April tahun lalu.

Mohd. Naszrizal Othman yang berdepan lima pertuduhan, Marzuki A. Kadir (10) dan Ahmad Samirrudin Muhammad Japri (sembilan), mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Nasrizal, 37, yang bertugas sebagai Pembantu Penguasa Gred WK19 didakwa menerima suapan RM1,150 secara berperingkat antara RM150 hingga RM300 antara Januari 2017 hingga Jun 2019 berhampiran sebuah bank di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Tertuduh kedua, Mazuki, 54, didakwa menerima suapan RM2,900 sebanyak 10 kali melibatkan transaksi dalam talian sebanyak RM200 hingga RM300 antara April 2018 hingga April 2023 dekat sebuah cawangan bank di lokasi sama.

Ahmad Samirrudin, 38, pula dituduh menerima suapan RM4,550 secara berperingkat sebanyak sembilan kali antara RM200 hingga RM1,500 sekitar Mei 2017 hingga April 2019 dekat sebuah cawangan bank di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Kesemua tertuduh menerima suapan itu daripada pemilik sebuah syarikat logistik sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori yang membawa keluar barang-barang dari kompleks kargo KLIA.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM8,000 bagi Mohd. Nasrizal, manakala Mazuki dan Ahmad Samirrudin pula RM10,000.

Hakim Awang Kerisnada turut mengarahkan tertuduh mematuhi menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi serta mengakses sebarang maklumat dalam sistem JKDM sehingga perbicaraan selesai.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. ‘Afif Ali dan Maziah Mohaide, sementara Mohd. Nasrizal dan Masuki diwakili peguam Muhammad Aizat Fakri dan Ahmad Samirrudin pula diwakili Adhwa’ Afiqah Mohd. Azmi.

Sebutan semula kes pula ditetapkan secara berasingan iaitu, Ahmad Samirrudin pada 11 Julai, sementara Mohd. Nasrizal dan Mazuki pula pada 25 Julai.

Sebelum ini, empat Pembantu Penguasa JKDM mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas keseluruhan 49 pertuduhan rasuah berjumlah RM39,800 berkaitan pemeriksaan lori barangan dari kargo KLIA.

Pada Selasa lalu, empat individu berasingan didakwa terlebih dahulu atas jumlah keseluruhan pertuduhan yang sama berjumlah RM39,750 di lokasi sama.

Terdahulu, SPRM memaklumkan seramai 23 pegawai dan anggota kastam akan didakwa di enam mahkamah sesyen seluruh negara sehingga 6 Jun depan selepas ditahan menerusi Ops Samba 2.0.

Operasi bermula 11 Mac hingga 25 Mac lalu itu menumpukan siasatan ke atas mereka yang bertugas di kargo KLIA dan berjaya mengesan ketirisan hasil cukai berjumlah RM2 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN